Wednesday, December 02, 2015

Keluarga PI Bala Gagal Kembalikan Saman Sivil Terhadap PM

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgPpV-FDAVWi5Ebolj3k3AfnzxwJ3h_4HT98UKY9HoSdhiGfY7xCmNKv69mZcMoMl0G8Ul0ckWfouTl0zp2WSWe8ODWw2TQYFHSCkVGmzH_-3kPcdCQf0nARdAZ-3EVBXn7MtNW3MIEG0A/s400/470x275xe3ea45470dc2f5fa4bbeafe1f180813d.jpg.pagespeed.ic.crftnt5lVF.jpg
PUTRAJAYA : Langkah keluarga mendiang penyiasat bebas P. Balasubramaniam untuk mengembalikan saman sivil terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan enam yang lain menemui nokhtahnya hari ini. 

Ini berikutan keputusan panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan, yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, menolak permohonan mereka untuk meminda dokumen mahkamah mereka.

A. Santamil Selvi dan anak-anaknya memohon mendapatkan daripada Mahkamah Persekutuan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan mereka meneruskan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak saman sivil mereka.

Bagaimanapun, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili mereka, memohon kepada Mahkamah Persekutuan hari ini supaya membenarkan anak guamnya membuat pindaan terhadap permohonan itu, daripada mendapatkan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kepada mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Peguam Datuk Hafarizam Harun, yang mewakili perdana penteri dan isterinya, berkata mahkamah tidak sepatutnya membenarkan pindaan itu kerana cadangan pindaan berkenaan tidak mempunyai kesan serta sia-sia kerana keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak boleh dirayu.

Oleh itu, Santamil Selvi tidak boleh memohon mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan, katanya. 

Raus menolak permohonan Santamil Selvi dan anak-anaknya itu atas alasan sebab yang dikemukakan peguam mereka tidak memadai untuk mahkamah melaksanakan budi bicaranya membenarkan pindaan itu dibuat.

Katanya oleh kerana permohonan mereka untuk membuat pindaan itu ditolak, maka permohonan mereka untuk mendapatkan semakan semula juga tidak boleh diterima serta dengan itu ditolak, dan beliau memerintah mereka membayar kos berjumlah RM60,000 kepada tujuh responden, termasuk Najib dan Rosmah.

Santamil Selvi dan anak-anaknya B. Kishen, B. Menaga dan B. Reeshi memfailkan tindakan undang-undang kerana kerugian yang dialami sepanjang mereka berada di luar negara selama 56 bulan, dari 4 Julai 2008 hingga 15 Mac, 2013, apabila Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan sakit jantung selepas kembali ke Malaysia dari India.

Mereka menamakan Najib, Rosmah, adik-adik Najib, Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan Datuk Mohd Nazim Abdul Razak, peguam Tan Sri Cecil Abraham serta anak lelakinya Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat, ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan peguam M. Arunapalam sebagai defendan. 

Dalam kenyataan tuntutan mereka, Santamil Selvi mendakwa dia dan suaminya dipaksa menarik balik perisytiharan berkanun yng dibuat pada 1 Julai 2008 berkaitan fakta tertentu dalam pembunuhan wanita Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu. 

Santamil Selvi dan anak-anaknya menuntut ganti rugi berjumlah RM840,000, termasuk bagi bayaran sewa pangsapuri di Chennai, India; yuran persekolahan anak-anaknya dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika; pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos.

Bagaimanapun, pada 11 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman sivil mereka, tanpa memberi pendengaran penuh setelah membenarkan permohonan responden untuk berbuat demikian.

Pada 24 April tahun ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu atas alasan notis rayuan Santamil Selvi mempunyai kecacatan dan ini mendorong mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Di luar mahkamah, Hafarizam berkata dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, tuntutan Santamil Selvi terhadap anak guamnya berakhir hari ini.

Sementara itu, rayuan Santamil Selvi untuk mengembalikan saman sivilnya terhadap Deepak, akan didengar Mmahkamah Rayuan Jumaat ini.

Deepak bukan responden dalam rayuan Santamil Selvi di Mahkamah Rayuan pada 24 April tahun ini.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment