Padahal, yang dikritik saya ini bukanlah tentang jasa-jasa Dr Mahathir. Saya sendiri akui beliau banyak berjasa kepada bangsa dan negara. Cuma pada agama saja yang saya lihat beliau agak kurang berjasa berbanding penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sekurang-kurangnya Pak Lah berjaya dakwah isterinya mengenakan tudung selepas 'pencen', bukan?
Baru-baru ini Dr Mahathir menghentam lagi kerajaan dan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Dalam tulisan di blognya, dia mendakwa Barisan Nasional akan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kerana berpresidenkan Najib.
Yang memalukan, sehari kemudian Dr Mahathir merengek-rengek meminta Kerajaan Persekutuan membantu dan menyokong syarikat Proton yang beliau terajui sekarang. Beliau hentam Najib dan kemudian minta tolong dari Najib pula? Banyak cantik muka!
Saya masih ingat lagi ketika mana beliau mengambil alih jawatan Pengerusi Proton. Khabarnya, dengan hanya menggunakan nama beliau saja, Proton mampu maju ke depan dan menjadi jenama automotif hebat yang setanding dengan nama-nama besar syarikat automotif lain di dunia permotoran.
Tiba-tiba saja selepas memaki-hamun, menjejaskan imej dan cuba menjatuhkan Najib, tiba-tiba beliau minta pula sokongan dari Perdana Menteri kepada Proton? Tidak malukah Dr Mahathir? Sedarkah beliau tentang perlakuannya itu sedang ditertawakan ramai?
Kita tahu bahawa Proton merupakan antara syarikat yang membanggakan negara. Sekurang-kurangnya, Malaysia membuktikan bahawa kita juga mampu membuat kereta sendiri. Namun sedarkah kita berapa kali Proton telah 'diselamatkan' pihak kerajaan?
Dulu, ketika mana Proton merupakan salah sebuah anak syarikat milik kerajaan (GLC), sudah beberapa kali ia 'diselamatkan' melalui suntikan-suntikan dana. Siapa lagi yang menyuntik duit rakyat kepada Proton ketika itu kalau bukan Dr Mahathir yang menjawat jawatan Perdana Menteri.
Itu biasalah. Selaku 'pencipta' Proton, sudah tentulah beliau tidak mahu melihat ideanya itu 'mati' bankrap begitu saja, bukan? Malangnya, dikatakan gara-gara terlalu dimanjakan Dr Mahathir itulah maka Proton gagal bersaing dan meletakkan diri setanding dengan syarikat automotif ternama yang lain.
Maka mungkin kerana tidak tahan dengan kritikan dan 'bail out' menyelamatkan Proton itu, maka GLC itu telah dibeli oleh sahabat baik Dr Mahathir sendiri, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menerusi DRB-Hicom dengan membeli 42.74 peratus pegangan saham Proton dari Khazanah Nasional Berhad pada 2012 dengan nilai lebih RM1.2 bilion.
Ramai pihak yang menyokong pembelian itu ekoran ia dibeli oleh 'sahabat karib' Dr Mahathir dan tidak ramai yang mengkritik pembelian itu kecuali pihak pembangkang. Dengan pembelian saham tersebut, maka Proton bukan lagi berstatus GLC negara dan merupakan syarikat milik Syed Mokhtar selaku pemegang saham terbesar, bukan?
Jadi, sokongan bagaimana lagi yang Dr Mahathir mahukan untuk Proton? Tidak cukupkah pertolongan-pertolongan dari 'tangan ghaib' sebelum ini? Mahu di'bail out' lagi? Berapa bilion ringgit yang diperlukan? RM1.9 bilion?
Desas-desus mengatakan wang sebanyak itulah yang diminta Dr Mahathir dari kerajaan dan permintaan itu ditolak oleh Najib, benarkah dakwaan itu? Khabarnya, kerana menolak permintaan itulah maka Dr Mahathir menyerang Najib siang dan malam, benarkah desas-desus itu?
Kenapa Dr Mahathir tidak minta bantuan dana dari pemilik Proton sendiri? Malu hendak meminta dari Syed Mokhtar? Kenapa malu jika permintaan itu adalah untuk menyelamatkan syarikat miliknya sendiri? Takkan Dr Mahathir kurang 'biasa' dengan beliau? Khabarnya beliau selalu 'membantu' di sebalik tabir ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu, benarkah?
Dan kini jika Najib tidak membantu dan menyokong Proton maka BN akan kalah pada PRU ke-14 nanti? Maksudnya, jika Najib bantu Proton, maka BN akan menang PRU ke-14? Begitukah perkiraan matematik seorang yang kononnya memiliki daya pemikiran yang 'maha hebat'?
Pada pandangan saya, begitulah jadinya bila Proton diketuai oleh seorang yang bukan ahlinya. Begitulah jadinya bila Lionel Messi ditugaskan untuk menebar roti canai di gerai mamak. Bukan saja pelanggan tidak dapat roti canai, roti yang dibuat pun tidak layak bergelar 'roti canai'...
Jadi, maka perkiraan sebelum ini yang mengatakan nama 'Mahathir Mohamad' itu mampu menjulang Proton itu adalah tidak benarlah? Nampaknya, selepas menghentam Perdana Menteri bertalu-talu, pada Najiblah jua beliau menebalkan muka meminta-minta sokongan?
Maaflah jika bekas Perdana Menteri tersinggung dengan kritikan saya kali ini. Saya tidak nafikan jasa beliau selama 22 tahun itu. Namun saya lihat, aura pada beliau semakin hari semakin hilang, sama seperti hilangnya kreadibiliti beliau di usia senjanya.
Soalnya, apakah tahap ketajaman fikiran seorang manusia itu akan merosot sama sejajar dengan kelanjutan usianya? Saya tidak mahu menggunakan istilah 'nyanyuk' kerana Dr Mahathir selalu marah dan tersinggung bila dituduh mengalami sindrom itu.
Namun itulah dia hakikat yang selalu berlaku kepada mereka yang mencecah lebih 90 tahun, bukan? Tidak terkecuali kepada saya juga nanti...
No comments:
Post a Comment