Thursday, December 10, 2015

Najib Lancar Kad Laporan Pencapaian Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2015

http://assets.bharian.com.my/images/articles/teraju912.transformed.jpg
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini melancarkan Kad Laporan Pencapaian Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2015 yang dikeluarkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) setelah mencapai impak yang positif.

Program itu memberi impak penciptaan nilai lebih RM60 bilion dalam pelbagai aspek termasuk penyediaan peluang perniagaan, pembiayaan, pembangunan modal insan dan pelaburan swasta.

Laporan pencapaian itu menggariskan sumbangan kerajaan kepada komuniti Bumiputera melalui agensi-agensi terpilih dalam lima teras utama yang digariskan di bawah Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju Datuk Husni Salleh bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyerahkan laporan itu kepada Najib, yang juga Presiden UMNO.

Penyerahan itu berlangsung sebelum majlis Taklimat Presiden kepada perwakilan-perwakilan UMNO malam ini sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Teraju, yang ditubuhkan pada 2011, merupakan unit strategik di Jabatan Perdana Menteri yang bertindak sebagai pemudahcara hal ehwal perniagaan, penggerak pelaburan, pemangkin pembangunan, perancang dasar dan penyelaras utama dalam memacu penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

Antara pencapaian melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan adalah 11 buah syarikat berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dan dua buah syarikat tersenarai dalam kelab “billionaire”.

Sebelum itu, Najib turut menyerahkan watikah kepada wakil-wakil negeri untuk penganjuran Karnival Sukan UMNO 2016 sempena ulang tahun ke-70 parti itu tahun depan.

Atlet kebangsaan negara seperti atlet bina badan Malek Noor dan pemain badminton negara Rashid Sidek antara yang hadir menyerahkan piala pusingan kepada Perdana Menteri sebagai simbolik pelancaran karnival sukan itu.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment