Monday, December 28, 2015

KPDNKK Terima 46 Aduan Berkaitan Pembelian Gajet Telekomunikasi

https://i2.wp.com/www.ismaweb.net/wp-content/uploads/2015/08/gedung-gajet.jpg
KUALA LUMPUR : Sebanyak 46 aduan berhubung pembelian gajet komunikasi diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menerusi kaunter aduan mini di tiga pusat beli belah di ibu negara, minggu lepas.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK WPKL Mohd Shahran Mohd Arshad berkata kaunter aduan berkenaan dibuka di Plaza Low Yat, Kompleks Pertama dan Kompleks Kota Raya sepanjang minggu lepas bermula dari 21 Disember 2015.

“Kebanyakan aduan melibatkan dakwaan penipuan harga telefon bimbit oleh penjual,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Berikutan kebanyakan aduan itu diterima kaunter mini Kompleks Kota Raya, beliau berkata KPDNKK WPKL menyambung operasi kaunter itu di pusat beli belah berkenaan sehingga 3 Januari ini.

“KPDNKK WPKL juga akan menyiasat kesemua aduan berkenaan termasuk menjejaki pemilik yang telah menutup perniagaan mereka,” katanya.

Kaunter aduan itu dikendalikan dua pegawai dari 11 pagi hingga 10 malam.

KPDNKK menempatkan anggota penguat kuasa di tiga kompleks itu susulan insiden pergaduhan dipercayai berpunca daripada penipuan harga gajet telekomunikasi.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment