Thursday, December 10, 2015
Bencana Jika Tolak Barisan Yang Diketuai UMNO...
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak memberi amaran bencana yang akan
menimba generasi akan datang sekiranya Barisan Nasional yang dipimpin
oleh UMNO hilang kuasa.
Dalam ucapan dasarnya, kata Najib cakap-cakap bahawa perlu ada sistem dua parti untuk memerintah negara perlu ditolak.
"Mana boleh???,… Mana boleh perkara ini kita terima? Bukan atas dasar
kita tidak faham pengertian demokrasi, tetapi,… dari sudut falsafah dan
perjuangan UMNO itu sendiri, yang memartabatkan bangsa dan
mempertinggikan syiar Islam, saya ingin bertanya kepada perwakilan dan
ahli UMNO semua, takkan kita tidak faham akan bahayanya, akibat seruan
yang tidak bijaksana itu?," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung
UMNO 2015.
Menurut Najib, realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai
cuma dua pilihan sahaja, sama ada coalition, yang dipimpin oleh UMNO,
ataupun satu lagi coalition yang dipimpin atau didominasi oleh DAP.
"Maksud saya, seandai dan sekiranya UMNO ditolak, negara ini akan
diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak
perjuangan Melayu dan Bumiputera. Bencananya, yang akan menimpa, apakah
kita mahu masa depan anak cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain
daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah…," katanya
DAP adalah tonggak Pakatan Harapan (PH) yang turut merangkumi PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), sebuah parti serpihan PAS.
Pemimpin-pemimpin DAP sering menuduh PAS sebagai parti pelampau Islam
dan cuba menyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa PAN tidak mempunyai
hasrat melaksanakan hudud.
Walaupun sering menafikan ia anti-Islam dan anti-Melayu, hakikat ialah
DAP tidak memberikan ruang untuk pemimpin Melayu menyerlah di peringkat
nasional.
Pada masa sama ada antara pemimpin DAP yang mengutarakan kemungkinan
mengurangkan jumlah kakitangan awam dan program-program tertentu yang
melibatkan kepentingan bumiputera.
Menurut Najib, UMNO sudah terbukti berjaya membawa ekonomi negara menuju ke tahap yang membanggakan sejak mentadbir negara.
Memetik laporan daya saing global 2015-2016 oleh World Economic Forum,
Malaysia sudah melonjak dua anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 144
ekonomi utama dunia.
Beliau berkata, pencapaian ini membuktikan kerajaan berjaya membawa
rakyat ke tahap ekonomi yang tinggi dan tidak mungkin ada rakyat yang
mengemis di bawah kepimpinannya.
"Antara contoh yang boleh dibanggakan adalah pembinaan Pelantar Gas di
Laut Caspian, pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kedua di
Istanbul, pelaburan Shale Gas yang juga Pelaburan Langsung Asing atau
FDI terbesar di Kanada hasil kendalian anak-anak bangsa kita.
"Selain itu, kita menjadi penyedia perkhidmatan kesihatan kedua terbesar
di dunia serta penyelenggaraan fasiliti stesen dan pengendalian Mekah
Metro... Segalanya ini hasil perjuangan UMNO," katanya.
Sementara itu, mengenai peraksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST) pada 1 April lalu, Najib berkata, ia adalah langkah yang tepat dan
menjadi penyelamat kepada ekonomi negara daripada terus merudum akibat
tekanan ekonomi global.
Beliau berkata, rakyat perlu tahu, sebelum tahun 2015, 31 peratus daripada pendapatan kerajaan datangnya daripada hasil minyak.
Pendapatan kerajaan ini bagaimanapun menurun mendadak akibat kemerosotan
harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal rendah, akan menyebabkan
hasil kerajaan dijangka berkurang sekitar RM30 bilion.
Jika ini berlaku, badan-badan pengabsah terkemuka di peringkat
antarabangsa seperti Standard & Poor's dan Fitch Ratings, akan
menurunkan taraf rating kredit negara. 'Ini juga akan menyebabkan kadar
faedah pinjaman seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan
pinjaman perniagaan melonjak naik.
"Dalam konteks ini, tidak dapat dibayangkan, seandainya kerajaan tidak
mempunyai keberanian politik untuk tetap melaksanakan GST, baki akaun
semasa fiskal kerajaan akan mencatat defisit sebanyak 10.6 bilion
ringgit.
"Ia juga akan melonjakkan defisit negara daripada 3.1 kepada 4.8 peratus
pada tahun pertama dan mungkin jauh lebih tinggi pada tahun-tahun
berikutnya.
"Akibatnya, kerajaan mungkin terpaksa membuat pinjaman untuk membayar
gaji penjawat awam, termasuklah guru dan anggota tentera. Jika hal itu
terjadi, tiada kenaikan gaji tahunan pada kakitangan, begitu juga elaun
perjalanan, malah akan berlakunya pembekuan dan tiada pengambilan baru
dibuat, hingga barangkali terpaksa mengecilkan pula saiz perkhidmatan
awam," katanya.
Katanya, jika GST tidak dilaksanakan tidak mustahil ekonomi negara akan
merudum, pelaburan akan terjejas dan peluang pekerjaan juga akan
terhakis.
"Oleh itu, GST lah menjadi penyelamat dan melindungi rakyat daripada
ditimpa kesusahan yang lebih berat jika ia tidak dilaksanakan," katanya.
Selain itu, katanya, kejatuhan nilai mata wang yang menjadi kebimbangan
bukanlah kerana kegagalan kerajaan mengurus ekonomi negara, tetapi
adalah disebabkan oleh faktor luaran.
"Antaranya, kejatuhan harga minyak dan komoditi lain, pengucupan kepada
kadar pertumbuhan ekonomi negara China serta kadar faedah di Amerika
Syarikat yang dijangka naik.
"Semuanya ini, adalah diakui oleh dunia sebagai faktor luaran sebagai
punca bukan sahaja terhadap Malaysia, malah turut terkesan kepada
kebanyakan negara ekonomi yang sedang membangun.
"Malah, negara seperti
New Zealand dan Australia pun turut mengalami penyusutan yang teruk,"
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment