Monday, December 28, 2015

Lakukan Dua Tiga Kerja Bukan Perkara Hina

EDITOR MENULIS...
28 DISEMBER 2015...

Tuhan tidak akan mengubah nasib anda jika anda tidak lakukannya sendiri. Perbuatan menuding jari menyalahkan orang lain tanpa melihat kelemahan diri sendiri itu lah yang dikatakan hina.

Keengganan untuk berusaha untuk diri sendiri dan keluarga adalah di antara faktor yang menyebabkan kehidupan berada dalam keadaan melarat. Apabila perkara ini berlaku, mereka memilih jalan mudah dengan menyalahkan kerajaan.

Budaya melakukan dua tiga kerja telah lama diamalkan di negara-negara barat dan timur. Namun apabila perkara ini disarankan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, beliau telah dikecam.
Ahmad Maslan dua kerja 
Malahan Setiausaha Agung MTUC, N Gopal Krishnam pula menggesa Putrajaya membantu rakyat dengan strategi berkesan bagi memastikan mereka mempunyai pendapatan mencukupi, dan bukannya menggalakkan mereka melakukan dua kerja. Kononnya kajian menunjukkan mereka yang melakukan dua kerja akan menerima impak negatif kepada kesihatan dan produktiviti pekerja.

Sikap manusia yang lebih suka mengecam dan memilih untuk berfikiran negatif menjadi punca keengganan mereka untuk berusaha dengan lebih gigih.

Pernahkah anda mendengar pepatah Melayu “belakang parang, kalau diasah lagikan tajam”? Begitu juga dengan tubuh badan kita. Dengan “exersice” yang banyak maka badan kita akan lebih cergas dan sihat.

Tuhan telah kurniakan setiap orang dengan pancaindera yang sama namun cara setiap orang menggunakannya sememangnya berlainan di antara satu sama lain.

Tahukah anda, mereka yang banyak tidur, otak akan “mati”? Mungkin anda akan terkejut apabila anda mendapati dengan melakukan dua tiga kerja, tubuh anda bukan sahaja lebih sihat malahan “poket” anda juga akan lebih tebal dan ini menjurus kepada keluarga yang lebih bahagia.

Sebelum ini Ahmad Maslan dilaporkan berkata kerajaan menggalakkan mereka berpendapatan rendah melaksanakan dua kerja dan tindakan itu turut dilakukan oleh penduduk di negara-negara lain. 

Kenyataannya itu mengundang kritikan banyak pihak, terutamanya pengguna laman media sosial.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) Datuk Azih Muda berkata, melakukan lebih dari satu pekerjaan akan memberikan kesan terhadap prestasi pekerja untuk penjawat awam.

Adakah beliau pasti bahawa mereka yang melakukan dua kerja akan terjejas produktiviti mereka? Semua orang diberi masa yang sama iaitu 24 jam sehari. Cara bagaimana mereka menggunakan masa tersebut yang menentukan produktiviti seseorang itu.

Adakah cukup produktif bagi kakitangan awam yang lebih banyak menghabiskan masa dengan minum pagi dan minum petang dari melaksanakan kerja jika dibandingkan dengan mereka yang melakukan dua jenis pekerjaan namun tahu membahagikan masa dengan tidak melakukan perkara-perkara yang “membuang masa” seperti memfitnah kerajaan dan sebagainya.

Berkenaan dengan harta pejabat digunakan oleh pekerja melakukan kerja ke-2 mereka seperti perniagaan atas talian pula. Ini berbalik semula dengan prinsip dan disiplin diri.

Pekerjaan kedua bermaksud kerja yang mereka boleh lakukan di luar waktu pejabat dan hanya mengambil masa lebih kurang dua ke tiga jam sahaja. Maknanya mereka hanya terpaksa korbankan masa “mengumpat” dan masa menonton tv rancangan kegemaran mereka sahaja dalam usaha meraih pendapatan yang lebih lumayan untuk diri sendiri dan keluarga.

Kesimpulannya, dalam apa jua perancangan dan percaturan hidup kita, prinsip “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” sentiasa mengekori kita.

Namun jika anda memilih untuk terus melakukan satu pekerjaan dengan bermacam-macam alasan penat lah, produktiviti akan terjejas, masa bersama keluarga dan lain-lain lagi maka anda tidak boleh cemburukan mereka yang hidup lebih senang daripada anda.

Dan anda tidak ada hak untuk terus menyalahkan kerajaan di atas sikap malas anda sendiri.

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjlWe7ba-jx7vcd7o0B3Pxen2h5lhPb_iZqNiwAWY43Nj-YfEAFn3c1egMaERmX99Hnz-9C0A30vdm0Tz0sXOll-1F431PtLBEZbo0v9xVZ1u5sD1SfjTv-1L8exhDQCs_SBI71qThrLhTi/s400/Syamsul.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment