Wednesday, December 02, 2015
Muhyiddin Sebenarnya Boleh Pilih Untuk Jadi ‘Tunggul’ Atau Tidak…
EDITOR MENULIS...
2 DISEMBER 2015
Allah SWT memberikan manusia akal fikiran untuk memilih. Ia
dikurniakan kepada manusia untuk membuat pilihan sama ada memilih yang
buruk atau yang lebih baik. Itu adalah antara hikmah kurniaan akal
fikiran yang turut membezakan antara manusia dengan mahkluk ciptaan
Allah yang lain.
Begitu juga perihalnya dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri
Muhyiddin Yassin. Saya yakin beliau adalah manusia dan turut
diberikan akal fikiran untuk memilih. Dalam konteks Perhimpunan Agung
UMNO (PAU) 2015, beliau juga berhak memilih, bukan?
Hari ini, beliau memberi kenyataan kepada media bahawa beliau akan
menjadi ‘tunggul’ pada PAU 2015 nanti. Menurut laporan media, beliau
mahu berucap, tapi kononnya tidak dibenarkan berucap di pentas UMNO itu
nanti.
Pada pandangan saya, dalam situasi sekarang ini, di saat ‘nasi
hampir jadi bubur’, Muhyiddin masih mempunyai pilihan sama ada memilih
untuk menjadi ‘tunggul’ yang menanti reput, atau memilih untuk menjadi
seorang Timbalan Presiden UMNO yang meletakkan sesuatu kena pada
tempatnya.
Maksud saya, Muhyiddin boleh keraskan hati, diamkan diri dan tidak
berucap apa-apa di atas pentas PAU 2015 nanti. Beliau boleh berdegil
cuba ‘menegakkan benang yang basah’ sambil menjeling rapat ke kerusi
Presiden yang diidam sebelahnya. Muhyiddin boleh memilih pilihan
tersebut.
Namun beliau juga sebenarnya punya pilihan untuk menjadi seorang
Timbalan Presiden UMNO yang adil dengan tidak memburuk-burukkan imej
Presiden di khalayak ramai, tidak ‘menyerang’ kepimpinan kerajaan secara
terbuka dan memberikan kritikan ikhlas yang membina secara tertutup
bagi memperbaiki keadaan.
Muhyiddin juga boleh memilih untuk tidak menjadi ‘tunggul’. Beliau
boleh memilih untuk mengotakan ikrarnya untuk menguatkan parti dan
mengembalikan kegemilangan UMNO, sebagaimana yang pernah beliau katakan
selepas digugurkan dari kabinet.
Tapi, memandangkan beliau memilih untuk tidak mengotakan ikrarnya itu
dan terus menerus bergandingan dengan bekas Perdana Menteri untuk
menghentam Presiden UMNO secara konsisten dan tidak membina, maka beliau
juga harus menerima akibat dari perbuatannya itu.
Bak kata orang, berani buat, maka beranilah tanggung, bukan? Jika
berani mencabar, menjejaskan imej parti dan kerajaan secara tidak
beretika, enggan memberi kritikan ikhlas yang membina secara tertutup
serta cepat ‘bebal’ apabila digugurkan, maka terimalah seadanya.
Rasulullah SAW ketika berdakwah dahulu, pernah dibaling batu dan
najis, serta dihamburkan dengan kata-kata nista. Baginda boleh memilih
untuk membalas perbuatan tersebut dengan membenarkan Jibril menghempap
penduduk Thoif dengan gunung-ganang.
Namun mengapa Rasulullah SAW tidak memilih untuk berbuat demikian? Ia
adalah kerana baginda ikhlas dalam dakwahnya dan penduduk kota Thoif
itu sebenarnya tidah tahu tentang keindahan serta kesempurnaan agama
Islam yang dibawa Rasulullah SAW.
Saya yakin bahawa selaku anak ‘tok guru’, Muhyiddin pernah dengar
riwayat tersebut.
Namun mengapa tidak mencontohi akhlak yang
ditinggalkan Rasulullah SAW itu? Apakah dengan menjejaskan imej dan
menimbulkan persepsi negatif terhadap Presiden UMNO secara terbuka itu
bagus untuk pengukuhan parti?
Selain itu, saya juga yakin Muhyiddin boleh memilih untuk menjadi
seorang Timbalan Presiden yang baik atau menjadi seorang Timbalan
Presiden yang kurang baik.
Menjadi seorang Timbalan Presiden yang baik antaranya memerlukan
Muhyiddin bersabar banyak, beristiqamah dengan etika parti, menegur
melalui saluran yang betul dan memberi nasihat secara berhemah dalam
menangani kekalutan dalaman yang berlaku serta tidak menjejaskan parti.
Namun, adalah amat untuk menjadi Timbalan Presiden yang kurang baik
sekiranya beliau memilih untuk beristiqamah ‘menikam belakang’,
menjejaskan imej tonggak parti, menimbulkan persepsi terhadap Presiden,
sekaligus mengintai peluang untuk duduk di kerusi Presiden yang cuba
digulingkan.
Yang mana satukah pilihan Muhyiddin, saya serahkan padanya. Beliau
ada akal dan fikiran, bukan? Mahu jadi ‘tunggul’ juga? Atau mahu
menjadi seorang Timbalan Presiden yang baik?
Saya harap, ‘nasi yang hampir menjadi bubur’ itu mampu diperbaiki
keadaannya supaya menjadi ‘nasi’ kembali, dan ia terletak pada hati dan
keikhlasan Timbalan Presiden UMNO itu. Tidak perlu tuding jari pada
orang jika empat jari lagi menuding kepada diri sendiri, kan?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment