Monday, December 28, 2015
Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Bincang Pandangan NGO Tentang Kos Sara Hidup
KUALA LUMPUR : Sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi
akan ditubuh bagi membincangkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO)
tentang isu kos sara hidup.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu yang turut
dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian berkenaan.
Beliau berkata menteri terlibat ialah Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed;
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan
Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir
Khalid.
“Menerusi jawatankuasa ini, saya akan menjemput pengerusi NGO untuk
menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatakan
sendiri luahan dan pandangan berhubung isu kos sara hidup,” katanya
ketika berucap pada majlis penutupan Deklarasi Prioriti 2016 – Ekonomi
Keutamaan Kita di sini hari ini.
Majlis anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM) yang turut
dihadiri Pemegang Amanah YDSM Tan Sri Alimuddin Mohd Dom itu disertai 50
NGO pelbagai kluster.
Ahmad Zahid berkata jawatankuasa itu dijadual bermesyuarat pada awal
Januari depan bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh 50 NGO
berkenaan.
Pada majlis itu, Alimuddin membentangkan enam resolusi yang dicapai
NGO terbabit dan YDSM dalam menangani cabaran ekonomi 2016 termasuk kos
sara hidup.
Resolusi itu adalah memperkasa kemapanan mahasiswa dengan memberi
dorongan dan bantuan yang komprehensif untuk menjadi penggerak dan
penjana utama ekonomi; memperkasa peranan wanita melalui skim latihan
keusahawanan, penubuhan koperasi barang dapur, biro pengurangan beban
hutang keluarga dan institut pembantu rumah bertauliah; serta memupuk
dan meluaskan budaya keusahawanan di semua peringkat termasuk usahawan
seni, budaya, kesihatan dan kecantikan.
Resolusi lain adalah memfokuskan kepada agenda ‘satu keluarga satu
usahawan’; memastikan kesejahteraan hidup miskin bandar, miskin tegar,
golongan kelainan upaya dan warga emas; serta melaksanakan pelan
tindakan drastik dalam penguatkuasaan kawalan harga barangan.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid berkata jawatankuasa itu
merupakan kesinambungan kepada Jawatankuasa Kabinet Menangani Kos Sara
Hidup yang turut dipengerusikannya.
“Apa yang dibincangkan oleh jawatankuasa peringkat tertinggi ini akan
dibawa ke jawatankuasa kabinet untuk diambil langkah sewajarnya,” kata
timbalan perdana menteri.
Beliau bagaimanapun meminta pemimpin NGO dan rakyat memahami faktor
yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan seperti
pengangkutan awam serta tol.
“Marilah kita sama-sama tidak menunding jari tetapi sebaliknya
mencari jalan terbaik, apakah cara holistik untuk menangani kos sara
hidup.
“Ini tentunya melibatkan perjanjian-perjanjian konsesi beberapa
projek raksasa sebelum ini dan harus dilihat kos sara hidup ini
bergantung juga kepada bahan-bahan import yang secara relatifnya
mempunyai hubungan dengan kos pengeluaran dan kos pengimportan,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment