Wednesday, December 02, 2015
PAS Belum Kenal Siapa Kawan, Siapa Lawan Sebenar?
Selepas bertalu-talu DAP menghentam PAS sejak ‘ayam-ayam tambatan’
mereka tewas merebut jawatan utama dalam parti berkenaan, kini
‘ayam-ayam dedak’ yang membentuk parti baru telah membuat ‘tag-team’
dengan DAP, bergilir-gilir membelasah parti pimpinan Dato’ Seri Abdul
Hadi Awang itu.
Parti politik pembangkang utama kini sudah empat jumlahnya. DAP, PKR,
Parti Amanah Negara (Amanah) dan PAS. Keadaan terkini keempat-empat
parti itu menyaksikan DAP dan Amanah hentam PAS, PKR pula tidak membela
PAS.
Senario tersebut menyebabkan kita boleh beranggapan bahawa PAS kini
keseorangan dan tidak bersekutu dengan mana-mana pihak. Manakala DAP,
PKR dan Amanah kini membentuk blok gabungan pembangkan yang baru dan
diberi nama Pakatan Harapan.
Seronok PAS dituduh mempunyai pengaruh IS? Suka? Khabarnya ramai yang
tidak puas hati pada Mat Sabu. Cuba tanya Mat Sabu, dia pula
terpengaruh dengan unsur apa? Syi’ah? Iran? Siapa Ayatollah Khomeini di
hati Mat Sabu? Siapa pula Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab
dihatinya?
Yang menghairankan kita, ketika mana Abdul Hadi menyatakan
hasratnya untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan rakyat, masih
ramai lagi pemimpin PAS yang tidak faham tentang apa yang tersirat di
sebalik kenyataan Presiden PAS itu.
Mereka masih lagi menyerang UMNO dan enggan menjalin persefahaman
dengan parti tunjang pemerintahan negara itu walaupun Presiden UMNO,
Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah ‘beri muka’ pada PAS sebelum ini.
Bagi menggagalkan kerjasama dengan UMNO itu, masih ada lagi yang
mengungkit kisah dulu-dulu ketika PAS ditendang keluar dari Barisan
Nasional dan masih ada lagi yang mengatakan UMNO menolak hukum hudud.
Apakah PAS memang pendendam? Menaruh dendam itu dianjurkan Rasulullah
SAW? Islam mazhab manakah yang menganjurkan PAS untuk berdendam tentang
kisah lama?
Pada pemerhatian kita, kisah silam itu berlaku ketika mana UMNO
diterajui oleh pemimpin UMNO lain dan bukannya Najib. Sebarang keputusan
ketika itu adalah tanggungjawab dan diputuskan oleh Presiden UMNO
merangkap Pengerusi BN ketika itu, bukan Najib.
Apabila Presiden UMNO bertukar ganti, maka corak kepimpinan dan
pendekatan juga berubah. Ia juga bertransformasi mengikut peredaran
zaman, keperluan dan kehendak rakyat yang terkini berdasarkan
kepentingan agama, bangsa dan negara.
Sebagai contoh, jika dulu Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk
berkali-kali menolak draf hudud yang dibentangkan Kerajaan PAS Kelantan
dan Terengganu, tanpa menawarkan sebarang pilihan lain, maka lain pula
pendekatan yang dibuat Najib.
Pendekatan Najib dilihat jauh lebih terbuka dan menghargai usul PAS
untuk melaksanakan hudud di Kelantan. Beliau tidak menolak draf hudud
dari Kelantan seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir. Malah Najib
bentang ‘karpet merah’ lagi kepada usul draf hudud itu.
Menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), draf hudud itu
diteliti dan dikaji bersama. Dibahas dan dibincangkan secara menyeluruh
dan Najib menyediakan platform khas untuk draf hudud berkenaan. Malah
mahu dibentang di Parlimen pun Najib beri jalan…
Tapi, Najib dan UMNOlah juga yang ‘buruk’ di mata pemimpin PAS.
Padahal, insan itulah yang membuka ruang pada sesuatu yang diperjuangkan
PAS selama berpuluh tahun dan pernah berkali-kali ditolak oleh Perdana
Menteri sebelumnya.
Menghairankan, DAP dan PKR yang menolak hudud secara terang-terangan
sebelum ini pula yang dijadikan ‘adik beradik’ oleh PAS? Benar ‘tahaluf
siyasi’ itu sudah berkubur, tapi tahukah PAS membezakan antara saudara
seagama dengan mereka yang tegar menolak hukum Allah?
Jika enggan berterima kasih atau memuji, tidak perlulah menabur
tohmahan dan persepsi negatif terhadap Perdana Menteri. Belajarlah
mengenang budi baik dan belajarlah untuk menghargai perubahan yang
dibawa demi kepentingan ummah dan rakyat Malaysia.
Justeru itu kita semua berharap PAS sedar dengan tingkah lakunya itu dan
cepat mengenali siapakah kawan dan siapakah lawan mereka yang sebenar.
Ikhlaslah dalam perjuangan, nescaya Allah SWT bayar keikhlasan itu jika
tidak di dunia, mungkin di akhirat kelak, kan?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment