Thursday, December 10, 2015
Keyakinan Najib Kecewakan Pengkritik
Ucapan perasmian Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis
mungkin menjadi salah satu ucapan terpenting dalam kerjaya politiknya.
Buat kali pertama dalam tempoh beberapa bulan, majlis itu juga mungkin akan mempertemukan Najib dengan Tun Dr Mahathir.
Pihak media tentunya tidak akan melepaskan peluang untuk membuat liputan
dan merakamkan situasi itu, jika ia benar-benar berlaku.
Pada perhimpunan agung tahun lepas, Dr Mahathir tidak gembira dengan
ucapan presiden dan serta-merta meninggalkan majlis pembukaan tanpa
menyertai barisan pimpinan lain untuk minum teh.
Dengan hubungan antara kedua-dua mereka yang semakin retak, mungkin situasi yang sama akan berulang.
Apabila ditanya apa yang akan dikatakannya apabila bertemu dengan Dr Mahathir, Najib ketawa dan menjawab: "Saya tak tahu lagi."
Kemudian, dengan nada yang lebih serius, beliau menambah: "Umno sudah
letih dengan semua ini, saya dapat melihatnya malam tadi bagaimana
mereka berasa letih. Secara jujur, saya juga bosan."
Najib telah menerima serangan dan kritikan daripada Dr Mahathir sepanjang tahun ini.
Tetapi ketika taklimat presiden pada malam Selasa, Najib telah memberi penjelasan kepada ahli Umno di semua peringkat.
Najib menyatakan rasa kecewanya dengan cara Dr Mahathir menggambarkan
Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal dan juga 'negara pengemis'.
Beliau telah menunjukkan maklumat grafik untuk membuktikan rekod
prestasi ekonominya dalam tempoh enam tahun sepanjang beliau menjadi
perdana menteri.
Beliau memberi contoh angka KDNK dan FDI serta indeks Bursa Malaysia di
mana semuanya telah bertambah baik di bawah pentadbirannya.
Beliau memberitahu perwakilan bahawa Malaysia berada di kedudukan ke-18
dalam daya saing dunia dan bagaimana rakyat Rohingya bersyukur apabila
mereka tiba di Malaysia.
Beliau menjelaskan bagaimana Dr Mahathir mencetuskan isu 1MDB daripada
isu perniagaan dan aliran tunai kepada isu politik, dan memberitahu
bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun pergi ke
Timur Tengah untuk menemubual penderma dana politik RM2.6 bilion.
Sebahagian besar taklimatnya adalah untuk menyangkal dakwaan Dr Mahathir.
Kerusi kosong di antara Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah peringatan yang amat nyata mengenai
pertelingkahan antara Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walau bagaimanapun, Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang
berada di sana dilihat terpinga-pinga dan tunduk malu di tengah-tengah
orang ramai apabila sokongan diberikan kepada Najib.
Najib memberitahu para perwakilan bahawa beliau perlu menggugurkan
Muhyiddin daripada Kabinet kerana kepercayaan dan kerjasama di antara
mereka telah hilang.
Beliau menggunakan analogi daripada bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Razak Hussein.
Najib berkata apabila bapanya mendapat tahu bahawa dirinya mempunyai
sakit leukemia, Razak hanya percayakan isterinya dan timbalannya ketika
itu Tun Dr Ismail Abdul Rahman untuk menceritakan perkara itu.
Timbalannya, bagaimanapun, meninggal dunia terlebih dahulu akibat serangan jantung dan disemadikan bersama rahsia tersebut.
Kata Najib, itu adalah satu tahap kepercayaan antara perdana menteri dan orang nombor dua di bawahnya.
Pada asasnya, Najib tidak senang dengan cara bekas timbalan beliau yang
telah membawa keluar isu-isu dari dalam Kabinet ke tempat terbuka.
"Ia adalah satu perakuan terus terang dan meyakinkan, dalam dewan yang
amat besar. Kami telah lama menunggu untuk penerangan ini.
"Saya tidak fikir Perdana Menteri dapat bercakap seperti itu lima bulan lalu, tetapi dia kini lebih yakin.
"Dia mempunyai sokongan di Parlimen, ahli Majlis Tertinggi bersama
dengannya dan dia mendapat sokongan daripada lebih dari 70 peratus
pemimpin bahagian Umno," kata Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Faizal
Abdullah.
Najib juga telah disokong oleh kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak
Asean yang menyaksikan beliau menjadi tuan rumah kepada
pemimpin-pemimpin dunia.
Pada permulaan taklimat itu, Najib berkata: "Saya seorang yang sabar.
Saya jarang-jarang marah tetapi semua tuduhan tidak berasas itu adalah
melampau. Saya tidak boleh berdiam lagi."
Dalam politik, masa adalah segala-galanya. Dr Mahathir telah banyak
berkata-kata selama satu tahun dan kini giliran Najib untuk bercakap.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment