Wednesday, December 02, 2015
Tiada Kenaikan Automatik Kadar Tol Untuk Lebuhraya PLUS
Tiada kenaikan secara automatik kadar tol untuk PLUS Highways kerana
kerajaan belum membuat keputusan mengenai perkara ini, kata Menteri
Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa terdiri daripada pemegang
kepentingan utama seperti Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan
(MOF), Unit Kerjasama Awam Swasta Pejabat Perdana Menteri, Unit
Perancang Ekonomi, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Lebuhraya Malaysia
(LLM) dan PLUS Highways Bhd akan ditubuhkan sebelum akhir tahun ini
untuk merundingkan semula kadar tol baru.
Beliau berkata demikian susulan spekulasi dalam media baru-baru ini
bahawa kadar tol bagi lebuh raya milik PLUS akan dinaikkan tahun depan.
Fadillah berkata kerajaan pada 2013 telah memberi jaminan bahawa kadar
tol antara bandar akan dikurangkan secara beransur-ansur menjelang 2018
dan mengulangi bahawa kerajaan berhasrat untuk memenuhi janjinya.
Beliau juga mengesahkan bahawa PLUS Highways Bhd, yang dimiliki 51
peratus oleh UEM Bhd, 100 peratus syarikat Khazanah Malaysia di bawah
MOF dan 49 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah
merundingkan semula perjanjian konsesi yang memperuntukkan kenaikan tol
lima peratus bagi setiap tiga tahun.
"Perjanjian konsesi PLUS Highways dirundingkan semula berdasarkan
perjanjian konsesi sebelum ini yang membenarkan kenaikan 10 peratus
kadar tol setiap tiga tahun seperti diputuskan di bawah Perdana Menteri
sebelumnya.
"Apabila PLUS Highways Bhd dimiliki sepenuhnya oleh UEM Berhad dan KWSP
pada 2011, perjanjian ini dirundingkan semula dan kenaikan tol
dikurangkan kepada lima peratus setiap tiga tahun," katanya dalam satu
kenyataan media.
Fadillah berkata kali terakhir kenaikan tol PLUS Lebuh Raya ialah pada
2005 dan sejak itu, kadar tol tidak dinaikkan walaupun perjanjian
memperuntukkan kenaikan tol pada 2008 dan 2011.
"Kerajaan berjaya merundingkan semula dan telah memberi pampasan kepada
PLUS Highways Bhd untuk memastikan kadar tol kekal sejak 10 tahun lalu,"
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment