Tuesday, June 23, 2015
Faktor Manusia Penyumbang Utama Kemalangan di LPT2...Apa Apa Perlu Berhati Hati Dijalan Raya
23 Jun 2015, Kuala Lumpur : Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini menegaskan
bahawa faktor manusia adalah punca utama menyumbang kepada kemalangan di
jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2).
Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata, faktor manusia
seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi had laju
terutama pada waktu hujan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan
adalah punca utama kemalangan di LPT2.
“Daripada 339 kes kemalangan di LPT2 antara 1 Feb hingga 2 Jun lepas,
sebanyak 70 peratus atau 238 kemalangan berpunca daripada faktor
manusia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, selebihnya merupakan faktor persekitaran iaitu 19
peratus atau 65 kemalangan termasuk pencerobohan haiwan ternakan seperti
lembu dan kerbau serta haiwan liar; juga terdapat lokasi air melintas
dan faktor kenderaan sebanyak 11 peratus atau 36 kemalangan.
Ismail berkata, daripada jumlah kemalangan tersebut 10 kes adalah
kemalangan maut, 25 kes melibatkan cedera parah, 58 kes melibatkan
cedera ringan dan selebihnya tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Beliau berkata, permukaan LPT2 berada dalam keadaan yang baik secara
amnya, namun terdapat beberapa kawasan berlaku pemendapan terutama
berdekatan struktur jambatan dan permukaan lebuh raya yang beralun di
beberapa lokasi. “Sebahagian lokasi berlaku mendapan dan beralun telah
diperbaiki dan proses pembaikan secara keseluruhan akan dilakukan dalam
masa yang terdekat,” katanya.
Katanya, kerja-kerja penambahbaikan adalah di bawah tanggungan pihak
kontraktor asal kerana ia masih dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan.Dalam
pada itu, Ismail berkata LLM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah
mengambil beberapatindakan termasuk meningkatkan kekerapan rondaan,
membaik pulih pagar rezab yang rosak, mengedarkan risalah kesedaran dan
pemasangan papan tanda amaran di lokasi berlakunya pencerobohan haiwan.
“LLM dan JKR juga telah mengenal pasti lokasi air melintas dan selekoh
berbahaya dan akan menambah baik permukaan berturap, permukaan lebuh
raya serta mengadakan langkah intervensi yang bersesuaian dengan
kerjasama pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat,” katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment