Wednesday, June 24, 2015
Ini Pengakuan Ketua Perampas Kapal Orkim Harmony...
“Kami menunggu selama 14 hari di laut sebelum berjaya merampas kapal
tangki MT Orkim Harmony,” akui Ruslan, 61, ketua kumpulan lanun kepada
Kolonel Le Van Minh, Komander Pengawal Pantai Wilayah 4, yang
berpangkalan di Kien Giang, Vietnam.
Ruslan yang berasal dari Anambas, Pulau Natuna, Indonesia mengaku
mempunyai 13 anggota kumpulan yang bersedia untuk merampas kapal tangki
berkenaan ketika berada di perairan Malaysia.
Menurutnya, lapan daripada mereka termasuk Ruslan menyerbu masuk ke
kapal berkenaan dengan bersenjata parang dan pistol manakala selebihnya
ditugaskan untuk mencari pembeli minyak petrol terbabit.
Memetik sumber VNExpress News sebagai berkata, sekumpulan 13 lanun itu
membuat perancangan awal dengan mengekori kapal MT Orkim Harmony ketika
berlayar dari Singapura ke Pelabuhan Tanjung Sedili, Johor menggunakan
kapal tunda.
Katanya, sebaik waktu malam, beberapa individu mengejar MT Orkim Harmony
menggunakan bot laju sebelum membantu Ruslan bersama tujuh lagi ahli
kumpulan yang lain naik ke kapal tangki itu dengan membawa pistol dan
parang.
Sebelum ini menurut laporan Dewan Perdagangan Antarabangsa (ICC),
sekumpulan lelaki bersenjata menawan kapal tersebut di 14 kilometer
barat daya Pulau Aur berhampiran Mersing pada Khamis.
"Mereka membawa bersama semua krew sebagai tebusan, mengubah perjalanan
kapal dan memindahkan minyak dari kapal tersebut," menurut laporan itu.
Sebelum meninggalkan kapal tersebut, sekumpulan lanun itu mencuri barang
yang terdapat di dalam kapal dan juga milik krew serta merosakkan
radio di kapal berkenaan.
Kapal tersebut kemudiannya berlayar ke pelabuhan yang selamat.
Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan rampasan kapal yang disahkan sebagai Orkim Victory.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)
percaya kapal tangki MT Orkim Harmony dirompak oleh kumpulan lanun
profesional yang pernah terlibat dalam beberapa siri rompakan kapal
dagang.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab.
Kahar berkata, siasatan juga mendapati sebanyak 13 anggota kumpulan
lanun terlibat dalam rompakan tersebut dengan lapan orang menaiki kapal,
manakala lima lagi menaiki bot tunda yang digunakan untuk merapati
kapal tersebut.
“Kumpulan tersebut amat profesional kerana mengetahui selok-belok
mengenai operasi kapal termasuk menggunakan peralatan perhubungan yang
canggih dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
“Siasatan Maritim Malaysia ke atas anak kapal yang diselamatkan juga
mendapati suspek yang dikenali sebagai ‘Ruslan’, yang dipercayai ketua
kepada penjenayah itu sering membuat panggilan dan bercakap menggunakan
bahasa Inggeris,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Menurut Ahmad Puzi, pihak berkuasa Indonesia juga telah memaklumkan
kepada Maritim Malaysia bahawa mereka telah menjumpai bot tunda di
Batam, Indonesia dua hari lalu yang dipercayai digunakan untuk merompak
kapal MT Orkim Harmony.
“Kita juga mendapati kumpulan lanun itu telah mematikan Sistem
Pengenalan Automatik (AIS) kapal, ini membuktikan mereka amat
profesional dan mengetahui mengenai selok-belok kapal, namun mereka
gagal memperdaya pesawat P-3C Orion milik Australia yang berjaya
mengesan kapal berkenaan di Teluk Siam.
“Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa Vietnam juga telah
berjaya mengenal pasti ketua kumpulan terbabit dan proses permohonan
ekstradisi untuk membawa kesemua suspek yang ditahan ke negara ini untuk
siasatan lanjut,” katanya.
Mengulas mengenai penemuan wang jutaan ringgit semasa lapan lanun
tersebut ditahan, Ahmad Puzi berkata, sememangnya ada penemuan wang
namun jumlah sebenar belum diketahui.
Selain itu, katanya, proses permohonan ekstradisi dipercayai akan
memakan masa dan tertakluk kepada kerjasama pihak berkuasa Vietnam,
namun Maritim Malaysia percaya atas semangat ASEAN perkara tersebut
dapat dipermudahkan.
Setelah dibawa ke Malaysia, kesemua suspek akan disiasat mengikut
Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan bersenjata
dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum
20 tahun serta sebatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Puzi memberitahu, bagi meningkatkan keselamatan,
Maritim Malaysia akan meletakkan anggota-anggota penguatkuasaannya yang
terdiri daripada Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (Star) secara
rambang di atas kapal komersial yang dimiliki dan berdaftar di Malaysia.
“Kita juga akan memperluaskan penggunaan AIS kepada semua kapal, bot dan
pesawat milik Maritim Malaysia supaya pengesanan aktiviti yang
menyalahi undang-undang di laut oleh kapal yang melalui perairan negara
dapat dibuat dengan cepat dan lebih berkesan.
“Dalam masa yang sama, Maritim Malaysia akan memperkemaskan operasi
dengan meningkatkan kehadiran kapalnya di laut terutamanya di kawasan
panas, langkah ini bersesuaian dengan persediaan menyambut Hari Raya
Aidilfitri yang mana umum tahu musim perayaan banyak kes penyeludupan
dan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) berlaku,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Netizens
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment