Wednesday, June 24, 2015
Kamu Akan 'Tenggelam' Bersama Parti Baharu - Hadi
24 Jun 2015, Petaling Jaya : Pemimpin dan ahli PAS yang menyertai parti dan pertubuhan
lain akan 'tenggelam' bersama parti baru itu, demikian kata Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Selasa.
Peringatan Hadi yang dibuat menerusi surat terbukanya kepada ahli parti
itu dilihat susulan kepada rancangan penubuhan sebuah parti baharu yang
menyerupai PAS oleh mereka yang tewas pada pemilihan pucuk pimpinan
baru-baru ini.
"Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS,
akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin
paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam
bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.
"Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita
diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan
bertawakkal kepada Allah," kata Hadi menerusi surat terbuka kepada
ahli-ahli PAS.
Selain itu Hadi turut berpesan kepada ahli PAS supaya kekal dengan parti yang berpegang kepada prinsip perjuangan Islam.
"Maka setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jemaah yang ditubuhkan di
atas prinsip dan matlamat beraqidah yang teguh bersama konsep
pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta
sejarah.
"Gagalnya kita memahaminya, boleh menyebabkan ada kalangan yang
kecundang atau tercicir di tengah jalan dalam perjalanan perjuangan ini
kerana tidak menghayatinya dengan betul," kata beliau lagi.
Sebelum ini dilaporkan kumpulan progresif dalam PAS yang tewas pada
pemilihan awal bulan ini sedang mencari 'wadah baharu' dalam meneruskan
agenda perjuangan mereka dalam politik.
Pada Isnin, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad turut
memberi kata dua kepada partinya supaya menjadi lebih inklusif dalam
masa 100 hari selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada 6 Jun
lalu atau berhadapan dengan kemungkinan akan wujud parti atau pertubuhan
baru yang lebih mesra Pakatan Rakyat.
Katanya, jika PAS gagal membuktikan kemampuan mereka, parti Islam itu
mungkin akan berhadapan dengan kemunculan sebuah parti baharu menyerupai
PAS.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment