EDITOR MENULIS...
22 JUN 2015
Meneliti
setiap gerakkerja oleh Tun Mahathir, tidak boleh dinafikan bahawa
PERKASA adalah antara NGO yang aktif menyokong setiap langkah mantan
Perdana Menteri Malaysia sejak kebelakangan ini.
Setiap program yang melibatkan mantan
Perdana Menteri itu, pasti kelihatan baju “tebuan” PERKASA mengiringi,
atau sebagai khalayak untuk meramaikan majlis. Sambutan ketibaan Tun
Mahathir balik dari umrah, program di Perak sehinggalah program “Nothing
To Hide” yang kemudiannya menimbulkan kekecohan, menyaksikan
penglibatan PERKASA di dalam program-program berkenaan.
Secara peribadi, saya mengharapkan NGO
Melayu seperti PERKASA menjadi orang tengah dalam kemelut ini. Samada
Tun M mahupun Perdana Menteri Najib Razak, kedua-dua tokoh ini mewakili
kuasa politik orang Melayu. Tentunya PERKASA sangat relevan sekiranya
mengambil jalan tengah, kerana apa yang diperjuangkan mengikut idea
penubuhannya ialah untuk memelihara kepentingan orang Islam, Melayu dan
bumiputera berdasarkan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan.
Hakikatnya, serangan demi serangan dari
Tun M memberi impak kepada kuasa politik orang Melayu yang pada ketika
ini dipimpin oleh Perdana Menteri Najib Razak, yang dilantik mengikut
perlembagaan dan undang-undang yang sah.
Jika Islam dan Melayu yang menjadi
intipati PERKASA, tentunya taat kepada ulul amri perlu menjadi
keutamaan. Sejarah juga telah membuktikan, bagaimana panglima perang
segagah Khalid Ibnu Walid pada penghujung “karier”nya sekadar menjadi
pejuang tanpa jawatan, namun tetap berjuang dan taat kepada pemimpin
yang dilantik pada ketika itu. Tidakkah PERKASA dapat memahami apa
teladan dalam kisah Khalid Al Walid itu sebagai panduan untuk taat
kepada pimpinan masakini? Kalau pun tidak mahu taat, cukuplah menjadi
orang tengah yang bercita-cita untuk mendamaikan.
Amat malang, pada pemerhatian saya,
PERKASA telah mengambil jalan untuk menyokong Tun Mahathir dari
bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kemelut yang melanda
kedua-dua tokoh berkenaan.
Jika soal isu semasa seperti 1MDB menjadi
motifnya, jawapan-jawapan berkenaan isu tersebut telah diberikan. Pun
begitu, PERKASA mengambil sikap untuk terus menyokong Tun M. Tidakkah
PERKASA punya Ahli Dewan Tertinggi yang mampu untuk menelaah
jawapan-jawapan yang diberi sebelum menimbangkan untuk tampil sebagai
orang tengah sekaligus menjadi pendamai berbanding mengikut sahaja apa
pendirian Tun Mahathir?
Saya tidak ada masalah dengan
kelantangan suara PERKASA dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan
dasar-dasar pro bumiputera yang dibuat oleh kerajaan, atau bertindak
atas pencabulan apa yang termaktub di dalam perlembagaan. Namun
mencampuri urusan pentadbiran dengan harapan menukar tampuk kepimpinan
adalah satu hal yang sama sekali berbeza.
Dalam saat-saat seperti ini, saya teringat kata-kata beberapa orang veteran UMNO sewaktu mula-mula PERKASA ditubuhkan dahulu.
“Perhatikan PERKASA, tidak mustahil mereka bakal berminat untuk turut serta melobi untuk bertanding pilihanraya”.
“Jangan terkejut jika PERKASA cuba gantikan UMNO bila keahliannya sudah ramai”.
“Harap-harap apabila mereka sudah
berkuasa, mereka akan tetap bertindak sebagai third force, dan bukannya
mencampuri urusan parti”
Dan pada ketika itulah juga, saya membalas “Insha Allah, saya ada keyakinan kepada PERKASA. Kita harus saling melengkapi, bukan bersangka buruk”.
Namun, dengan apa yang sedang berlaku
ketika ini, saya tidak berani bertemu waima sesi mengopi bersama
veteran-veteran ini. Malu.
Justeru itu, jauh di sudut hati, saya
tetap berharap agar PERKASA tampil menjadi orang tengah selaku pendamai
dalam kemelut-kemelut yang berpotensi menyebabkan kerugian kepada orang
Melayu.
Disediakan oleh :
Sdr. Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment