Tuesday, June 23, 2015

Nasib Baik ISA Sudah Mansuh, Kalau Tidak...

Suatu ketika dulu, ketika mana Tun Dr Mahathir mentadbir negara sebagai Perdana Menteri, adalah menjadi suatu yang sangat pelik sekiranya beliau membenarkan imej negara atau UMNO dihentam di dalam negara ini.

Dan ketika itu, sekiranya wujud mana-mana pihak yang memperlekeh dan memburuk-burukkan nama negara dan kerajaan Malaysia di luar negara termasuk media asing, maka teruklah mereka akan digam, dihentam dan ditibai secukup-cukupnya.

Jika tidak dibelasah menteri-menteri kabinet yang diarah, maka Tun M sendiri akan mengherdik media-media asing tersebut sehingga ada wartawan luar negara yang terketar-ketar memegang kertas soalan untuk diajukan pada beliau.

Pihak berkenaan dikatakan sebagai musuh negara, pengkhianat, tiada sifat patriotik, menjejaskan kestabilan ekonomi dan politik negara dan banyak lagi kecaman-kecaman yang dilemparkan, bersesuaian dengan apa yang ditohmah ketika itu.

Penulis yakin bahawa tindakan itu dilakukan Tun M dan barisan kabinetnya kerana mereka berada di dalam kerajaan dan sedar hakikat apa yang berlaku, serta tahu bahawa segala tohmahan yang dilemparkan pihak tertentu itu adalah tidak tepat, palsu dan fitnah.

Jadi, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk pentadbiran negara, metodologi yang sama diguna pakai bagi menghadapi tohmahan tidak benar dan tidak tepat yang dilontarkan pada pihak Kerajaan.

Adalah menjadi satu tindakan normal bagi sesebuah kerajaan mahupun Perdana Menteri untuk mempertahan maruah dan imej negara sekiranya diserang oleh mana-mana pihak, bukan? Itulah yang sedang dilakukan Najib dan barisan kabinetnya.

Malangnya, bila mereka menjawab tohmahan dan tuduhan tidak tepat itu, mereka dikatakan cuba menyembunyikan sesuatu dan tidak menjawab soalan. Malah pihak yang melakukan tohmahan itu tidak mahu percaya pula bila fakta-fakta diberikan padanya.

Penulis agak kesal sedikit ISA dimansuhkan kerana akta itulah yang digunakan Tun M suatu ketika dulu terhadap pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik atau ekonomi negara.

Meskipun akta itu digunakan untuk bidang keselamatan, mengganggu kestabilan politik dan ekonomi negara turut dianggap mengganggu-gugat keselamatan negara, bukan? Jika tidak, tidaklah ditangkap ramai pemimpin politik dalam "Ops Lalang" dulu, bukan?

Penulis yakin, sekiranya Najib memiliki sifat seperti Tun M dan ISA masih kekal, mungkin mantan Perdana Menteri itu akan menjadi tahanan ISA tertua di negara ini, berusia hampir 90 tahun pun masih ditahan, bukan? Nasiblah, siapa suruh gugat kestabilan politik negara, bukan?

Baru-baru ini, mantan Perdana Menteri itu dilaporkan telah menghantar surat kepada media antarabangsa dan surat itu dikatakan mengandungi isi yang menghentam serta mencemar imej negara dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang hanya berdasarkan persepsi semata-mata.

Bukan main lagi mantan Perdana Menteri kita, kan? Dulu beliau kutuk habis-habisan media antarabangsa, tapi hanya kerana permintaan peribadinya tidak dipenuhi kerajaan, tergamak pula dia bersekongkol dengan "media yahudi" untuk mencemar imej negara.

Penulis rasa, jika Tengku Razaliegh Hamzah yang menghantar surat pada New York Times dan mencerca Tun M ketika beliau berjawatan Perdana Menteri dulu, mungkin Ku Li sudah "ke dalam", senasib dengan pemimpin lain yang pernah dihumban masuk menjadi tahanan ISA.

Untunglah Tun M kerana Najib bukan sepertinya. Cuma apa yang Tun M perlu tahu, Najib bukan seperti Pak Lah. Najib adalah "Team A" dan Pak Lah pula dari "Team B". Sudah tentu Najib itu adalah anak didiknya dan jangan haraplah Najib akan mengalah semudah Pak Lah.

Lagipun, Tun M perlu tahu bahawa Najib itu sejak dari dulu terkenal dengan teliti dan sentiasa berhati-hati dalam gerak geri politiknya. Najib tahu dirinya berada di pihak yang benar dan tidak akan berundur dengan tuduhan berbentuk persepsi bodoh alang kepalang.

Biarlah masa menentukan. Jika terbukti ada yang tidak kena tentang 1MDB, Mohd Najib sendiri akan bertindak terhadap mereka yang bersalah itu. Namun jika terbukti tiada sebarang penyelewengan, jangan lupa minta maaf pada Najib sebelum terlambat...

Dipetik daripada sumber : Amir Hamzah/Utaranews.com

No comments:

Post a Comment