Wednesday, December 02, 2015
Isu Pembangunan Bukit : Gerakan Gesa Kerajaan DAP Wujud Suruhanjaya Penyiasatan Bebas
GEORGE TOWN : Gerakan Pulau Pinang hari ini menggesa kerajaan pimpinan DAP menubuhkan satu suruhanjaya penyiasatan bebas untuk menyiasat isu pembangunan tanah tanpa kelulusan.
Ketua Biro Pengaduan Awam Pemuda Gerakan, Jason Loo berkata
percanggahan maklumat dari kerajaan negeri dan Laporan Audit Negara itu
amat ketara dan sering kali mengelirukan kerana angka-angka yang diberi
tidak selari.
Katanya, laporan audit telah menunjukkan keluasan pembangunan tanah
tanpa kelulusan di Botak Hill telah meningkat sebanyak 24,857 walaupun
Notis Menghendaki Kerja Tanah Diberhentikan telah dikeluarkan oleh
kerajaan negeri pada 2013.
“Kami mencadangkan untuk melantik individu yang bersesuaian dan bukan
dari mana-mana parti politik untuk mengetuai Suruhanjaya tersebut
supaya satu siasatan terperinci dapat dilakukan demi kepentingan
rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata keluasan lot tanah yang dilakukan kerja-kerja tanah
tanpa kelulusan di Mukim 13, Bukit Relau, Daerah Timur Laut telah
bertambah selepas Jabatan Ukur dan Pemetaan dan Agensi Remote Sensing
Malaysia membuat keluasan ukuran tanah Julai tahun ini.
Loo turut mempersoalkan jawapan diberi Exco kerajaan negeri Pulau
Pinang, Chow Kon Yeow ketika menjawab persoalan dibangkitkan dalam
sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang terhadap isu kelulusan
pembangunan tanah tinggi yang melebihi 76 meter atau 250 kaki dari aras
laut.
“Tiada pembangunan boleh dilakukan pada kawasan yang melebihi
ketinggian 76 meter dari aras laut yang telah termaktub dalam pelan
pembangunan Pulau Pinang tetapi Chow sendiri memberitahu terdapat 56 lot
tanah diberi kelulusan sejak 2008?
“Jawapan Chow ini jelas menunjukkan wujud ketidaktelusan dalam
jawapan Ketua Menteri Lim Guan Eng tiga tahun lalu apabila menegaskan
tiada sebarang kelulusan diberi Kerajaan Negeri bagi pembangunan di
kawasan yang melebihi ketinggian 76 meter di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri yang mengamalkan prinsip Cekap,
Akauntabiliti dan Telus (CAT) harus menjawab segala persoalan mengenai
pembangunan tanah negeri ini.
“Kenyataan yang bercanggah antara Lim dan Chow menunjukkan wujudnya ketidaktelusan dan amat mengelirukan rakyat,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment