Wednesday, December 02, 2015
‘Keganasan Persepsi’ Perlu Ditangani Secara Berhemah – Salleh
SHAH ALAM : ‘Keganasan persepsi’ menerusi media
baharu merupakan suatu bentuk ancaman terkini kepada keselamatan negara
serta masyarakat yang perlu ditangani secara strategik dan berhemah.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
berkata sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menjadikan media baharu
sebagai medan untuk memanipulasi maklumat serta melemparkan tuduhan
tidak berasas terutamanya kepada pemimpin negara.
“Persepsi yang dimanipulasi ini boleh mencetuskan kekeliruan dan
kekacauan. Lantas, ia akan mengakibatkan pembentukan keganasan persepsi
melalui corak pemikiran yang negatif dan budaya ekstremisme sekiranya
isu ini tidak ditangani secara strategik dan berhemah.
“Sebagai contoh, Islamic State (IS) menerusi penggunaan media baharu
ini telah membentuk konsepnya tersendiri yang mempengaruhi cara
pemikiran untuk bertindak ekstrem.
“Mereka yang terpikat dengan ideologi IS ini terdedah dengan
keganasan persepsi yang berbaur emosi dan mengandungi sentimen
kebencian,” katanya ketika berucap menutup Forum Keganasan Persepsi:
Komunikasi Digital dan Keselamatan Negara di sini hari ini.
Forum berkenaan anjuran Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan
Informasi (PPPMI), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM),
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia.
Antara anggota panel yang hadir adalah Pengarah Bahagian Strategik
Pejabat Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail; Pengarah PPPMI, FKPM,
UiTM, Prof Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman dan Pengurus Besar Kanan, Pusat
Penyiaran Digital TV Al-Hijrah, Zainal Rashid Ahmad.
Salleh menarik perhatian bahawa keganasan persepsi secara umumnya
merujuk kepada pembabitan masyarakat dan golongan tertentu melalui
saluran komunikasi seperti di media sosial dan aplikasi telefon pintar
yang mengandungi unsur provokasi, emosi, serta sentimen keterlaluan yang
mendorong kepada persekitaran negatif di dalam saluran tersebut.
Menurutnya, penggunaan saluran komunikasi yang sukar dikawal ini
berlaku secara tidak sekata dan keadaan yang berterusan ini boleh
mencemarkan imej masyarakat, kerajaan yang memerintah serta negara.
Beliau dalam pada itu berkata, isu ‘keganasan persepsi’ di Malaysia
dapat dikurangkan sehingga ke tahap minimum sekiranya masyarakat tidak
mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan
kesahihannya.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu,
Salleh menasihatkan media supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dalam
melaporkan isu-isu yang mempunyai kepentingan negara selain sentiasa memastikan kesahihan sesuatu fakta berita.
“Kita di Malaysia kadang-kadang tengok ada budaya viralism.
Sepatutnya ini tidak berlaku. Kena tapis dulu apakah betul maklumat
tersebut, sama ada akan menjejaskan keselamatan negara,” katanya.
Ketika ditanya pendapat yang disuarakan dalam forum itu mengenai
kesan keganasan persepsi terhadap keputusan pilihan raya umum ke-14,
Salleh berkata beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan
kredibiliti serta keputusan rakyat untuk terus memilih Barisan Nasional
(BN) menerajui tampuk pimpinan negara.
“Pada saya yang penting pada pilihan raya umum akan datang adalah
suatu persaingan politik…dan saya yakin rakyat akan terus bersama BN
kerana kita terbukti sebuah parti yang mampu beri khidmat terbaik kepada
rakyat Malaysia,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment