Wednesday, December 02, 2015
Malaysia Akan Tingkat Penguatkuasaan Keselamatan Siber – Zahid
ROME : Malaysia berminat untuk meningkatkan penguatkuasaan
keselamatan siber bagi menangani pengaruh keganasan menerusi dalam
talian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata langkah itu penting bagi menghalang rakyat daripada direkrut kumpulan pengganas.
Beliau memberitahu demikian kepada wartawan Malaysia di sini selepas
mengadakan pertemun dengan Menteri Dalam Negeri Itali, Angelino Alfano
yang kedua-duanya turut membincangkan kerjasama berhubung keganasan,
migran dan pemerdagangan manusia serta jenayah terancang.
“Pihak Itali begitu serius mengenai keselamatan siber dan telah
memperuntuk €150 juta (kira-kira RM672.7 juta). Malaysia mesti mengambil
langkah segera menangani cubaan merekrut anggota pengganas secara dalam
talian,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya terutama pihak polis memerlukan
peruntukan besar untuk memperkuat aspek penguatkuasaan teknikal selain
pengurusan berkaitannya.
Malaysia, katanya merancang untuk menghantar pegawai polis dan kastam
ke Itali untuk melihat lebih dekat cara negara berkenaan menangani isu
jenayah terancang dan imigresen.
Ahmad Zahid yang sedang dalam lawatan tiga hari ke Itali turut
mengadakan pertemuan pada Selasa dengan Ketua Polis Itali, Alessandro
Pansa dan Ketua Jabatan Kebebasan Awam dan Imigresen Itali, Mario
Morcone.
Beliau kemudiannya turut mengadakan majlis makan malam untuk rakyat Malaysia yang tinggal di sini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment