Monday, June 22, 2015
Alahaiiiii....Lima Pasar Awam Kuala Lumpur Kritikal Dengan Pembiakan Tikus
Pasar Borong Selayang dan Pasar Chow Kit antara lima lokasi pasar awam
di ibu negara yang dilabel sebagai tempat pembiakan tikus dan dikhuatiri
boleh terdedah kepada risiko penyakit pembawa maut, Leptospirosis atau
kencing tikus.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) Mariappan Chinniah berkata tiga lagi pasar awam terbabit
ialah Pasar Pudu, Pasar Sentul dan Pasar Keramat.
"Kami jalankan operasi menangkap tikus (di pasar-pasar itu) lima kali
seminggu dan sehari kami guna lebih 50 perangkap tikus dan kebiasaannya
penuh," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Mariappan berkata dalam tempoh sebulan, pihaknya berjaya menangkap
kira-kira 6,000 ekor tikus di kelima-lima pasar tersebut dengan purata
tangkapan sehari di setiap pasar boleh mencecah sehingga 50 ekor tikus.
Jumlah itu, katanya tidak pernah berubah lebih lima tahun lalu.
Malah, katanya, pasar-pasar ini juga didapati merupakan tempat sarang
tikus membiak dengan wujudnya berpuluh-puluh lubang tikus yang aktif
dikesan.
Mariappan berkata populasi tikus lebih aktif di kawasan pasar dan
bukannya di rumah kediaman, lebih-lebih lagi di pasar yang
persekitarannya tidak terurus dan kotor.
"Faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kehadiran tikus yang banyak
di pasar ialah air, sisa makanan serta tempat perlindungan seperti
lubang yang dibuat di dalam longkang," katanya.
Wartawan Bernama yang mengikuti operasi Jabatan Kesihatan Persekitaran
DBKL menangkap tikus di Pasar Pudu pada Jumaat lepas terkejut apabila
dalam tempoh kurang lima minit selepas perangkap yang diletakkan dengan
umpan isi kelapa, tujuh ekor tikus berwarna perang dan bersaiz sederhana
masuk jerat.
Persekitaran Pasar Pudu begitu kotor sekali dengan usus dan perut ayam
bersepah di atas lantai manakala longkang yang menyalurkan air dari
dalam pasar ke luar tersumbat akibat dipenuhi dengan organ dan darah
ayam.
Tikus juga kelihatan berlari-lari di lantai pasar, dan mengikut anggaran
kepadatan tikus, situasi tersebut menunjukkan bilangan tikus yang
mungkin terdapat dalam lokaliti tersebut lebih daripada 1,000 ekor.
Operasi berlangsung kira-kira tiga jam itu berjaya memerangkap lebih 30 ekor tikus pelbagai saiz.
Mariappan berkata DBKL kerap menjalankan operasi kawalan tikus untuk
menjadikan kawasan ini sifar tikus tetapi semuanya bergantung kepada
sikap peniaga dan penjaja sendiri.
"Sistem pelupusan sampah sepatutnya dilakukan dengan betul dan teratur
contohnya menggunakan tong sampah bertutup serta membuang sampah di
dalam tong, bukannya di tepi tong sampah," katanya.
Beliau turut menjelaskan operasi kawalan tikus di kawasan pasar
merupakan tugas yang paling sukar kerana penggunaan racun tikus tidak
boleh dilaksanakan kerana dikhuatiri boleh memberi kesan kepada makanan
yang dijual.
Berdasarkan statistik tangkapan tikus Unit Kawalan Pest DBKL tahun lepas, sebanyak 54,370 tikus telah berjaya ditangkap.
Namun dari Januari hingga Mei tahun ini, jumlah tangkapan tikus adalah
paling tinggi iaitu sebanyak 13,294 ekor berbanding tahun lepas kurang
daripada 12,000 ekor, dalam tempoh yang sama.
Disediakan oleh : Fatin Nabihah Marzuki
dan Nur Hafizah Tan, BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment