Monday, June 22, 2015
Penguatkuasa Khianat....Kena Perlu Ambil Perhatian
Seperti diduga oleh banyak pihak gejala rasuah yang berpunca
daripada perbuatan khianat segelintir anggota penguat kuasa menyebabkan
sempadan negara kita mudah dibolosi. Persoalannya, bagaimanakah rasuah
itu dilakukan dan siapa yang terlibat?
21 Jun 2015, Kuala Lumpur : Sikap khianat segelintir anggota agensi penguat
kuasa terus menjadi `duri dalam daging sehingga mengakibatkan sempadan
negara begitu mudah dibolosi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Apa yang membimbangkan biarpun gejala itu sudah berlanjutan sejak dua
dekad lalu namun sehingga kini amalan rasuah didakwa terus berlaku di
sempadan negara. Sumber memberitahu, meskipun penambahbaikan serta
cadangan demi cadangan yang komprehensif diberikan, namun sistem
perjalanan kerja yang dilakukan penguat kuasa di sempadan masih berada
di takuk lama sehingga mengakibatkan kegiatan rasuah menjadi budaya
dalam kalangan mereka. “Kelemahan itu menjadi faktor utama ramai pihak
yang tidak bertanggungjawab mendapat peluang dan kesempatan untuk
membeli penguat kuasa dengan wang ringgit.
“Lebih menyedihkan, dengan hanya suapan serendah RM20 ringgit sahaja,
pintu masuk di sempadan negara terus dicabuli dengan pelbagai kegiatan
penyeludupan yang akhirnya memberi kesan negatif kepada negara,’’
katanya kepada Utusan Malaysia. Kelemahan itu juga dakwa sumber itu,
diketahui pegawai atasan atau ketua-ketua jabatan yang menyelia sistem
kerja penguat kuasa namun sehingga kini tiada sebarang tindakan drastik
diambil sejak bertahun lamanya.
Sumber berkata, pegawai atasan mengambil mudah tentang perjalanan kerja
anggota mereka sehingga sanggup menutup sebelah mata meskipun mengesan
atau mengetahui berlakunya kejadian rasuah. “Ketirisan di sempadan ini
bukan benda setahun dua berlaku sebaliknya telah berpuluh-puluh tahun
dan hampir mencecah lebih dua dekad lamanya. “Perkara ini berpunca
akibat pegawai atasan yang tidak memberi perhatian terhadap cara kerja
anak buah mereka. Antara yang dikesan adalah kurangnya pemantauan secara
berkala serta tidak turun padang untuk menyelia sendiri setiap aturan
kerja penguat kuasa.
“Malah apabila terdapatnya laporan salah laku, tiada tindakan drastik
dilakukan dan pegawai yang melakukan kesalahan rasuah masih dibiarkan
berkhidmat di lokasi sama, Tindakan itu seolah-olah mereka tutup sebelah
mata dan tidak ambil peduli,” katanya. Utusan Malaysia turut
difahamkan, operasi yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)
di sempadan utara negara baru-baru ini adalah disebabkan permasalahan
ini, yang membelenggu agensi-agensi penguatkuasaan sejak sekian lama di
seluruh negara.
“Walaupun laporan secara dalaman telah diberikan namun tiada tindakan
drastik dilaksanakan malah sempadan negara terus diceroboh ekoran sikap
tidak berintegriti sebilangan penguat kuasa. “Walaupun jumlah tangkapan
sekadar sekitar 40 penguat kuasa sahaja namun bilangan itu dilihat
tinggi memandangkan isu ini melibatkan isu keselamatan negara,’’ kata
sumber itu lagi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment