Wednesday, June 24, 2015
Bangunan MARA Di Australia: Pembelian Ikut Prosedur, Menguntungkan, Dakwaan Harga Ditinggikan Dalam Siasatan
24 Jun 2015, Kuala Lumpur : Pengerusi
Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa menjelaskan pembelian
blok apartmen Dudley International House mengikut prosedur kewangan
termasuk kelulusan Majlis Ekonomi Negara, Kementerian Kewangan dan
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Anuar Musa ketika dihubungi menyatakan pembelian ini tiada
kena mengena dengan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh sebuah
portal pro pembangkang hari ini.
“Saya hanya sebut dari segi prosedur pembelian ia mengikut prosedur
sehingga ke Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusi oleh Perdana Menteri
bukannya campur tangan Perdana Menteri dalam menentukan harga pembelian.
Ia pembelian yang menguntungkan.
Namun kita prihatin mengenai dakwaan
ada rasuah dan penyelewengan dalam penentuan harga dan siapa yang
terlibat.”
Sementara itu Malaysiakini.com melaporkan Annuar Musa memberi tahu
bahawa MARA telah memberi tempoh tujuh hari kepada anak syarikatnya,
MARA Inc, untuk menjawab berhubung dakwaan skandal pembelian hartanah di
Melbourne, Australia.
Beliau juga berkata MARA akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti
pembelian blok apartmen Dudley International House yang dijadikan
asrama pelajar tajaan agensi kerajaan itu sepertimana yang dilapor
akhbar The Age.
“Saya beri masa tujuh hari pada MARA Inc supaya beri jawapan bertulis
terperinci tentang apa yang ditulis oleh The Age dan dalam masa 14
hari, kita akan panggil mesyuarat khas Majlis supaya meneliti secara
lebih terperinci.
“MARA Inc kena kemukakan alasan bertulis dan ulasan mengenai perkara
yang dibangkitkan. Dan seterusnya menentukan apa langkah yang perlu
diambil,” katanya lagi.
Akhbar Australia The Age mendakwa sekumpulan pegawai MARA yang amat
kaya, menggunakan dana pelaburan kerajaan Malaysia, untuk membida harga
blok apartmen itu daripada A$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga
(RM65 juta), dengan wang perbezaan itu didakwa dijadikan sebagai rasuah
di tanair.
Mengulas lanjut, Annuar berkata laporan oleh The Age berhubung pembelian apartmen tersebut merupakan maklumat baru.
Ahli Parlimen Ketereh juga berkata MARA kini sedang menjalankan
penyiasatan audit terhadap anak syarikatnya itu untuk tindakan lanjut.
“Apa yang dibangkitkan dalam The Age berkaitan pembelian terlebih
bayar ini merupakan sesuatu di luar daripada pengetahuan kita sehingga
masa ini.
“Dalam pengetahuan kita, untuk masa ini nilai oleh penilai
antarabangsa jauh lebih tinggi dan kita membelinya dengan harga yang
rendah.
“Dan di luar pengetahuan kami sekiranya nilainya ialah A$17.8 juta (RM51.5 juta) yang mana perkara ini akan disiasat,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment