Thursday, June 18, 2015
Dr. Mahathir Korban Prinsip Sendiri Bila Gunakan Media Asing.
Bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan telah mengorbankan
prinsip dirinya sendiri apabila memilih media asing sebagai saluran
untuk ‘menyerang’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
barisan kepemimpinan UMNO.
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir
Abdul Samad berkata, masyarakat masih belum melupakan saranan Dr.
Mahathir agar berhati-hati dengan media asing yang dikatakan mempunyai
agenda zionis serta sering kali memburuk-burukkan Malaysia.
“Memang saya rasa kali ini Tun Dr. Mahathir menyerang Datuk Seri
Najib dan kepemimpinan UMNO habis-habisan kerana saya lihat beliau sudah
sanggup mengorbankan prinsip dirinya sendiri, memang kita boleh katakan
agenda beliau menyerang Najib dan kepemimpinan UMNO adalah serius,”
katanya ketika dihubungi hari ini.
Shahrir mengulas mengenai sebuah artikel daripada media antarabangsa,
The New York Times yang telah mewawancara Mahathir di Putrajaya
berkenaan kritikan-kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap Najib
serta isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam wawancara berkenaan, Dr. Mahathir juga melontarkan pandangan
bahawa UMNO dikuasai golongan ‘Napoleon kecil’ yang menyekat kemasukan
individu-individu berbakat dan bijaksana dalam parti semata-mata untuk
membolehkan golongan berkenaan terus berkuasa.
Menurut Shahrir, beliau yakin Dr. Mahathir menggunakan platform media
asing kerana menyedari desakan-desakannya terhadap Najib tidak mendapat
sambutan daripada barisan pimpinan UMNO dan ahli-ahli Parlimen Barisan
Nasional (BN).
“Ini bukan sebarangan punya media asing, ini adalah The New York
Times, media daripada Amerika Syarikat. Saya fikir ini berlaku kerana
beliau sedar beliau tidak mendapat sambutan, sebab itu beliau mungkin
sanggup mengambil langkah luar biasa sehingga mengorbankan prinsipnya,”
katanya.
Berhubung kritikan Dr. Mahathir terhadap UMNO, Shahrir berkata,
pandangan bekas Perdana Menteri itu tidak tepat kerana UMNO bersifat
inklusif dan memberi peluang kepemimpinan kepada pelbagai lapisan
termasuk golongan muda dan wanita.
“Kalau beliau hendak kata UMNO semakin lemah pun, beliau sepatutnya
sedar bahawa UMNO telah berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen
daripada 79 buah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) kepada 88 kerusi
Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke 13,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment