Friday, June 19, 2015
Tukarlah Apa Nama Pakatan Pun Akhirnya Tetap Huru Hara – Nurhuda
19 Jun 2015, Kuala Lumpur : Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan
Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR), itulah yang tercatat di dalam
sejarah pakatan pembangkang di negara ini yang hanya ada pada nama
sahaja tetapi apa yang dibawa oleh mereka seperti ‘tin kosong’ dan pasti
tidak akan bertahan lama, ujar Exco Puteri UMNO Malaysia, Nurhuda Ab.
Karim.
Beliau berpandangan, mereka sebenarnya hendak meniru parti Barisan
Nasional (BN) yang pada awalnya dengan nama Perikatan dan kini BN tetap
kukuh malahan negara luar turut mengiktiraf BN sebagai sebuah parti yang
terbukti mampu mentadbir dan mengurus negara dengan rekod yang
cemerlang.
“Tetapi pembangkang? Saya tidak nampak mereka boleh bertahan dalam
berpakat, datanglah dengan apa sahaja nama, kerana mereka sedar
hakikatnya dasar dan prinsip parti masing-masing tidak boleh disepadukan
dan dijadikan dasar bersama.
“Gabungan mereka ini hanya muncul ketika pilihan raya, kerana niat
hanya ingin menghasut rakyat supaya menolak BN sehingga ada yang sanggup
menggadaikan prinsip daripada memperjuangkan negara Islam kepada negara
berkebajikan pula.
“Dan atas sebab itu , rakyat perlu menolak pembangkang, kononnya
mereka ini berpakat demi kepentingan rakyat tetapi akhirnya, tetap sama
seperti sebelum ini, berkubur tanpa nisan,” katanya kepada UMNO-Online.
Menurutnya
lagi, jelas kelihatan sebenarnya antara parti pembangkang sering keluar
kenyataan dan keputusan yang bukan untuk kepentingan bersama, tetapi
lebih kepada kehendak parti sendiri sahaja kononnya merekalah parti yang
terbaik dan saling salah-menyalah apabila timbul sesuatu permasalahan.
“Hakikatnya, mereka memang tidak mampu menyaingi kesepakatan yang diamalkan di dalam BN, dengan dasar konsesusnya.
“Kalau mereka ini benar-benar jujur kepada rakyat dan ada sifat
kebertanggungjawaban, kenapa takut untuk mendaftar sebagai sebuah
pakatan yang sah?
“Daripada itupun kita sudah nampak, kesepakatan mereka bukan untuk
menjaga dan membela kepentingan rakyat sebagaimana yang mereka sering
momokkan ‘demi rakyat’, ‘harapan rakyat’, tetapi sebenarnya ia tidak
lebih untuk perjuangan peribadi semata-mata,” tegas Naib Ketua Puteri
UMNO Bahagian Tun Abdul Razak itu.
Walaupun begitu, beliau berpandangan adalah tidak mustahil selepas
ini pasti akan ada nama baharu yang akan dicipta oleh pakatan
pembangkang kononnya atas nama kepentingan rakyat dan negara dengan
rakan kongsi yang baharu pula.
Justeru itu, beliau juga menasihati agar BN tidak boleh leka akan
kekalutan dan perpecahan yang berlaku di dalam pakatan pembangkang,
kerana BN kukuh sehingga kini bukan kerana kelemahan orang lain tetapi
kerana rakyat tetap mempercayai BN lebih baik mentadbir dan mengurus
negara serta terbukti sentiasa menjaga kepentingan dan kebajikan
rakyatnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment