Tuesday, June 23, 2015
Ini Yang Kita Mahukan Perhubungan Tetap Utuh....
Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan
Timbalan Menteri (Bakti) Datin Seri Rosmah Mansor berkata semangat
patriotisme sangat penting bagi memastikan rakyat negara ini yang
berbilang kaum berada dalam suasana aman, harmoni dan stabil.
“Malah, semangat patriotisme ini amat diperlukan pada masa kini apatah
lagi kita sedang dilanda oleh ledakan teknologi maklumat dan dunia
globalisasi yang menuntut semangat patriotisme yang tinggi dan kental.
“Meskipun negara telah mencapai kemerdekaan lebih daripada setengah
abad, ini tidak bermakna semangat patriotisme tidak lagi penting bagi
rakyatnya,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan
bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan keselamatan negara di
Bangunan BAKTI Siti Hasmah di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Kehormat Bakti Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Panglima
Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Isteri perdana menteri itu berkata patriotisme adalah semangat
kenegaraan yang melangkaui batas-batas bangsa, agama, bahasa dan budaya
iaitu tidak boleh ada tolak ansurnya dalam hal ini.
“Bagi Malaysia yang sentiasa mengamalkan demokrasi, kita boleh
bertelagah, berselisih faham mahupun berlainan ideologi politik dan
pandangan, namun dalam soal semangat patriotisme dan sayangkan negara
kita perlu berdiri sebagai satu bangsa yang bersatu padu dan kuat,”
katanya.
Rosmah berkata sekiranya rakyat tidak cintakan negara, mereka lebih
senang dipengaruhi dan dipecah belahkan sekali gus mudah untuk mana-mana
musuh memusnahkan bangsa yang bermusuh sesama sendiri.
Pada tahun ini Bakti menyediakan 49,500 kotak juadah hari raya untuk
diagihkan kepada pasukan keselamatan negara bersempena sambutan
Aidilfitri bulan depan.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment