Tuesday, June 23, 2015

Dap Jangan Berlagak Mulia… Apakah Projek Mega Di P.Pinang Telus?

23 Jun 2015, Tasek Gelugor : Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya berkata, Dap harus cermin diri sendiri sebelum berlagak ‘mulia’ mahukan ketelusan.

Beliau berkata demikian mengulas sikap pemimpin Dap yang sering mendesak kerajaan pusat bersikap telus contohnya dalam siasatan 1MDB tetapi sebaliknya Dap sendiri tidak pernah telus terhadap semua projek mega mereka di Pulau Pinang.

Slogan ‘Cekap, Amanah dan Telus’ (CAT) DAP tegas beliau lagi hanyalah alat pemasaran yang tidak membawa makna apa-apa kepada parti itu, tetapi sekadar untuk memperbodohkan penyokong mereka.

“Adakah mereka telus terhadap projek-projek mega yang mereka lakukan… projek Lebuhraya Gurney Drive–Tun Dr. Lim Chong Eu sepanjang 4.2km., Lebuhraya 4 lorong dari Tun Dr. Lim Chong Eu–Bandar Baru Air Itam sepanjang 4.6km., Terowong bawah laut antara Pulau Pinang–Butterworth sepanjang 6.5km dan Jalan 4 lorong dari Tanjung Bungah-Teluk Bahang sepanjang 12km, semua ini ada persoalan yang sehingga kini tidak terjawab.

“Contohnya pembinaan terowong bawah laut yang membabitkan kos bernilai RM6.3 bilion. Persoalan demi persoalan yang diaju rakyat sehingga kini tidak mendapat jawapan.

“Sekiranya projek ini tidak merugikan dan membawa kebaikan kepada rakyat, tidak mengapalah tetapi bagaimana sekiranya projek ini kelak bakal menyusahkan rakyat. DAP perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya menandatangani perjanjian walaupun belum ada sebarang kajian dilakukan,” ujarnya kepada UMNO-Online.
shabudin-yahya
Tambah Shahbudin, projek tersebut melibatkan jumlah wang yang banyak malah ia melibatkan wang rakyat.

Sekiranya Dap mengamalkan ketelusan tegasnya sudah pasti pertanyaan rakyat dijawab dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak akan menandatangani perjanjian sebelum sebarang kajian dilakukan.

“Jadi, sekiranya Dap mahu mendesak kerajaan bersikap telus maka mereka sendiri harus telus dan jangan mengelak apabila pentadbiran mereka dipersoalkan. Jangan hanya mencari koyak kain orang sedangkan kain sendiri lebih teruk koyaknya.

“Apa yang pasti kerajaan pusat di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak adalah jauh lebih telus dan jujur kerana tidak pernah lari daripada desakan rakyat,” ujarnya lagi.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment