Thursday, June 18, 2015

Kemelut Kerajaan Pakatan... Azmin Mengadap Sultan Selangor

18 Jun 2015, Shah Alam : Entah belum atau tidak tapi Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendakwa Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat.

Menurut Rafizi pertemuan tersebut diadakan bagi tujuan meyakinkan Baginda bahawa pengurusan pentadbiran negeri itu tidak akan terjejas selepas perpecahan Pakatan.

Menurutnya lagi, Mohamed Azmin juga akan memaklumkan kepada Baginda bahawa ketiga parti PAS, PKR dan DAP akan terus bekerjasama walaupun tidak lagi bersama sebagai sebuah kerajaan campuran.

"Saya diberitahu bahawa Azmin akan memberi taklimat kepada Sultan dalam masa terdekat.

"Keputusan bubar PR dibuat dengan rundingan bersama DAP dan Pas, langkah terbaik adalah meneruskan kerjasama politik dalam bentuk kerajaan campuran di peringkat negeri," katanya seperti dipetik menerusi laporan sebuah portal Khamis.

Rabu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan perikatan PR yang dibina berlandaskan perhubungan PKR, PAS dan DAP telah berkubur.

Dalam satu kenyataan Wan Azizah berkata, gabungan tiga parti itu kini tidak lagi berfungsi secara formal.

Sementara itu,  Rafizi turut menyangkal khabar angin yang mengatakan DUN Selangor bakal dibubarkan ekoran kenyataan DAP bahawa Pakatan Rakyat (PR) sudah tidak wujud susulan kemelut yang melanda parti demokratik itu dengan PAS.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, PKR dan DAP sepakat untuk tidak membubarkan DUN Selangor sekaligus mengelakkan pilihan raya negeri dijalankan ekoran perpecahan gabungan pembangkang berkenaan.

Menurutnya, pilihan raya negeri tidak perlu dilakukan kerana tiga parti dalam Pakatan sebelum ini berjaya menguasai Selangor dengan majoriti besar.

"Lebih baik jika diteruskan kerjasama politik dalam bentuk kerajaan gabungan di peringkat negeri," ujar Rafizi di lobi Parlimen sambil menambah pilihan raya negeri yang baru juga akan membazirkan dana.

Situasi yang berlaku dalam PR pada masa kini semakin bercelaru selepas DAP bertindak menganggap gabungan pembangkang itu sudah 'berkubur' ekoran tindakan PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan parti berkenaan di muktamar minggu lalu.

Kecelaruan berkenaan sekaligus menimbulkan persoalan berhubung status kerajaan negeri yang dikuasai gabungan berkenaan khususnya Selangor, tentang bagaimana ketiga-tiga parti berkenaan mampu bekerjasama setelah DAP mengisytiharkan PR tidak wujud.

Ia berbeza dengan situasi kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kelantan yang mana DAP dan PAS mempunyai kawalan kukuh dan tidak begitu terjejas dengan perkembangan terbaru itu.

Di Selangor, PAS dan DAP masing-masing menguasai 15 kerusi DUN, manakala PKR memperoleh 14 kerusi. Jika salah satu parti antara PAS atau DAP mengambil pendirian drastik, Pakatan bakal kehilangan penguasaannya di negeri termaju di Malaysia itu. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment