Sunday, June 28, 2015
Kenapa Perlu Takut.....Mustahil Khalid Kembali Jadi MB Selangor - PKR
Petaling Jaya : Cita-cita Tan Sri Khalid Ibrahim untuk kembali menduduki
kerusi menteri besar Selangor adalah mustahil, kata Naib Presiden PKR,
Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Hairan dengan tawaran Khalid, Shamsul berkata menteri besar sedia ada,
Mohamed Azmin Ali mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Selangor daripada PKR, DAP dan PAS.
"Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul
Hadi Awang) yang menyokong Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan PKR
melalui Azmin. Jadi tidak berbangkit sebarang isu berkenaan kehilangan
sokongan majoriti ke atas Azmin pada ketika ini.
"Amat hairan bagaimana Tan Sri Khalid boleh menyangka beliau dapat
memegang semula jawatan menteri besar kerana beliau telah dipecat dari
PKR dan sekarang hanya merupakan seorang Adun bebas," katanya menerusi
kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang dilaporkan bersedia
menjadi menteri besar semula bagi menyelamatkan rakyat daripada krisis
pakatan pembangkang yang tidak menentu sekiranya mendapat kepercayaan
dengan majoriti mudah.
Mengulas lanjut Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil mengingatkan
Khalid bahawa kemenangannya sebagai wakil rakyat pada pilihan raya yang
lalu adalah atas kapasiti sebagai pemimpin PKR dan bukan kemampuan
dirinya sendiri.
"Tan Sri Khalid hanya boleh menjadi menteri besar semula sekiranya beliau diberi sokongan penuh oleh Umno.
"Jika itu berlaku, ini merupakan suatu khianat yang amat besar terhadap
rakyat Selangor kerana mereka telah menolak parti dan kepimpinan Umno di
dalam Pilihanraya Umum ke-13," katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment