Tuesday, June 23, 2015

Krisis Pakatan: Sultan Selangor Terpaksa Campur Tangan Lagi...

Kurang setahun lalu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terpaksa masuk campur dalam krisis politik kerajaan Pakatan di negeri itu dan kini apakah sekali lagi Baginda diheret dalam pemainan politik kerajaan Pakatan?

Persoalan tersebut menarik minat wartawan yang membuat liputan di Istana Bukit Kayangan pada Isnin selepas Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dilihat mengadap Sultan Selangor hampir sejam selepas majlis rasmi istiadat pengurniaan watikah pelantikan hakim syariah negeri itu.

Sebelum ini, Sultan Selangor terpaksa campur tangan selepas kebuntuan proses PKR mahu memecat MB yang sedang berkuasa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan digantikan dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun rancangan PKR dan DAP itu gagal selepas PAS menolak Wan Azizah menjadi MB dan bertegas mahu mengekalkan Khalid sebelum beralih menyokong Azmin selepas Khalid dipecat dari PKR.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan pertemuan tertutup berkenaan, bagaimanapun tidak mengiakan butir perbincangan yang berkisar pergolakan PR.

“Saya tak tahu butir perbincangan antara menteri besar dan tuanku, mungkin sekadar perjumpaan rutin mingguan.

“Tuanku tidak pula beritahu saya butir perbincangan baginda dengan Azmin dalam tempoh dua jam itu,” katanya dipetik Sinar Harian.

Memandangkan Selangor turut dihimpit krisis pentadbiran DAP dan PAS, tidak mustahil pertemuan berkenaan membincangkan hala tuju dan jalan terbaik dinasihatkan Sultan Selangor kepada menteri besar.

Perlu diingat Azmin bukan pilihan pertama MB untuk PKR dan DAP Selangor yang asalnya menyokong Wan Azizah.

Bagaimanapun dengan sokongan PAS serta lima ADUN PKR lain, Azmin berjaya menjadi MB selepas nama Wan Azizah tidak diterima PAS.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli memberitahu, beliau difahamkan Azmin akan memberi penjelasan kepada sultan berkaitan isu pembubaran PR dalam masa terdekat.

Dalam pada itu kata Rafizi, PKR telah menghubungi wakil DAP, Selangor dan PAS dan kedua-dua parti sudah mengesahkan sokongan terhadap menteri besar itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad turut berkata, tiga Exco PAS sudah diarahkan meneruskan tanggungjawab dan tidak akan memulau DAP.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment