Tuesday, June 23, 2015
Ramadhan Masa Terbaik Pemimpin UMNO, PAS, TUN M Untuk Bersalaman
Sama ada disedari atau tidak umat Islam di Malaysia sekarang dilihat
semakin berpecah kepada beberapa kelompok parti, pertubuhan dan
penyokong kepada pemimpin tertentu.
Antara yang ketara ialah perpecahan di dalam Pas apabila kumpulan pro
Anwar dan DAP terpinggir dalam pemilihan pada Muktamar Pas 2015 awal
bulan ini.
Sebenarnya percaturan DAP dan PKR berjaya memecahkan kesatuan dalam Pas.
DAP hanya memerlukan sokongan Pas semasa pilihan raya umum dan pilihan
raya kecil terutama di kawasan yang ramai pengundi Melayu di dalam dan
pinggir bandar.
Sejarah awal penubuhan Pas adalah daripada serpihan UMNO. Parti Melayu
Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah adalah juga serpihan UMNO,
Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) pimpinan bekas Presiden Pas,
Datuk Asri Muda juga ialah serpihan Pas. PKR adalah serpihan UMNO ekoran
penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Serpihan terbaru Pas ialah Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) .
Parti serpihan daripada UMNO dan Pas tidak mampu bertahan lama kecuali
PKR yang turut dianggotai bukan Melayu. Namun tidak dapat diramalkan
sampai bila parti itu akan kekal kerana ramai pemimpin awal
meninggalkannya atas beberapa sebab tertentu.
Namun DAP terus dominan dengan mendapat sokongan etnik Cina semasa
pilihan raya walaupun terdapat MCA dan Gerakan yang bergabung dengan BN.
Seperti yang diduga, Pasma yang asalnya diwujud sebagai NGO ditubuh oleh
pemimpin dan ahli Pas yang kecewa. Pasma dijangka menjadi parti baru
sebagai alternatif menggantikan Pas dalam pakatan rakyat (DAP dan PKR)
jika Pas yang kini dipimpin oleh pro ulamak disingkir atau memutuskan
hubungan politik dengan pakatan itu.
PKR bagaimanapun yang merasakan diri tersepit sedang berusaha
“mendamaikan” DAP dan Pas supaya tidak “bercerai” demi servival parti
itu di Selangor dan bagi menyambung hayatnya pada pilihan raya umum akan
datang.
Pas yang dipimpin pro ulamak kini dilihat semakin mengecil akibat krisis
yang melanda parti itu berikutan campur tangan rakannya dalam
menentukan kepimpinan selain isu hudud .
Maka itu, DAP menjadi begitu berani mencabar kepimpinan Pas agar
meninggalkan pakatan di samping meminta ahli Pas yang dilantik oleh
kerajaan PR meletak jawatan di Pulau Pinang dan Selangor.
Cabarap DAP itu merupakan satu bentuk “penghinaan” terhadap Pas. Bantuan
yang diberikan Pas dalam PRU 2008 dan 2013 tidak lagi dikenang dan
dihargai.
Jika perpisahan DAP dan Pas itu menjadi realiti, parti yang
bertunjangkan Islam itu tiada pilihan lain kecuali terpaksa membina
kekuatan baru dan bergerak bersendirian dalam menghadapi pilihan raya
akan datang.
Pilihan terbaik Pas ialah menyambut tangan yang dihulurkan oleh UMNO
yang menerajui Barisan Nasional (BN) sekalipun agak rumit bagi parti itu
untuk menerima persahabatan walaupun ahli dan penyokongnyaa menghadap
kiblatnya sama.
Tidak rugi bagi UMNO dan Pas untuk bersama menyingsing lengan bagi
membina kekuatan ummah dalam meneruskan kuasa dominan Melayu dalam
politik di samping mengimbangi kekayaan ekonomi di tanah pesaka yang
diwarisi ini.
Melayu tidak boleh menjadi peminta sedekah di negara sendiri atau
menderita seperti pelarian Rohingya yang diusir oleh rejim junta.
Penjajah yang mengamalkan dasar “pecah dan perintah” semasa zaman
kolonial British dulu wajar menjadi pengajaran berharga kepada orang
Melayu dalam UMNO mahu pun Pas.
Kepimpinan negara sekarang bukan sahaja diasak oleh pembangkang, tetapi
oleh mereka yang tidak puas hati daripada dalam parti sendiri sama ada
secara terang atau secara “baling batu sembunyi tangan”.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang disanjung tinggi
selama ini pun turut membelasah kepimpinan negara dan beliau sudah pun
meramalkan BN akan kalah pada pilihan raya umum akan datang.
Amat malang sekali Malaysia sekiranya UMNO yang menerajui pemerintahan
sejak merdeka gagal meneruskan legasi kuasa Melayu angkara persengketaan
ini di samping pelbagai dakwaan yang diasak kepada barisan kepimpinan
sekarang.
Kita tidak dapat membayangkan bagaimana masa depan anak cucu pribumi
yang sedang belajar dan akan menuntut di pusat pengajian tinggi. Adakah
mereka masih boleh mendapat keistimewaan lagi?
Di bulan mulia ini, merupakan ketika yang terbaik untuk menghentikan
segala tuduhan antara pemimpin yang bertelagah terutama dalam Pas mahu
pun UMNO yang menaungi umat Islam di negara majmuk ini.
Umat Islam Malaysia tidak boleh bersengketa selama-lamanya kerana ia
akan hanya melemah kesatuan bangsa dan agama suci yang kita junjung dan
amalkan bersama.
Jadikan Ramadan yang mulia ini sebagai saksi dan pancang ikatan bahawa
kita umat Melayu dan Islam boleh bersama dengan mengikis segala
prasangka negatif terhadap pihak lain.
Hentikan segala tuduhan dan dakwaan kerana Rasullulah sendiri berpesan:”
Orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain, janganlah seseorang
Muslim menganiaya saudaranya itu, membenci atau bermusuhan, memutus
hubungan mesra dan pulau-memulau..”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment