Thursday, June 11, 2015
Malim Gunung Kinabalu Wira Sejati – Pemuda BN Sabah
9 Jun 2015, Kota Kinabalu : Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah menyanjung
tinggi peranan dan pengorbanan malim Gunung Kinabalu dalam mencari dan
menyelamat pendaki yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara
itu dalam kejadian gempa bumi pada Jumaat lalu.
Ketuanya Yamani Hafez Musa berkata Pemuda BN negeri menyifatkan
mereka sebagai wira sejati yang wajar diberi penghargaan dan
pengiktirafan oleh kerajaan, rakyat dan pelbagai pihak yang lain.
“Malim Gunung Kinabalu yang terlibat dalam operasi itu telah
mempertaruhkan nyawa mereka demi membantu menyelamatkan pendaki yang
terkandas dan membawa turun mereka yang cedera. Kita amat terhutang budi
kepada malim Gunung Kinabalu yang juga lebih dikenali sebagai ‘Unsung
Heroes’.
“Pemuda BN Sabah menghargai keberanian, kemahiran dan ketangkasan
wira-wira berkenaan dalam misi menyelamat di laluan yang terhalang oleh
bongkahan-bongkahan batu. Mereka telah melaksanakan tugas yang amat
penting dalam usaha menyelamat ramai pendaki yang terkandas di laluan
yang terhalang oleh bongkahan batu itu,” katanya dalam kenyataan Isnin.
Yamani Hafez berkata ada antara malim gunung itu terdiri daripada
ketua Pemuda UMNO cawangan dan anggota Pemuda UMNO Ranau seperti Rashidi
@ Sidut merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kundasang dan Azli Donald
ialah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Muhibbah di Ranau.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut
mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dalam usaha
pencarian, terutamanya malim gunung yang banyak berkorban bagi membantu
mangsa gempa bumi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mendengar
taklimat mengenai bencana itu di Ranau pada Ahad juga menyifatkan malim
gunung terbabit sebagai ‘unsung heroes’ yang telah melakukan tugas kerja
yang terbaik.
Beliau berkata kerajaan akan memberi penghargaan terhadap jasa, usaha dan komitmen mereka dalam membantu pasukan penyelamat.
Seramai 250 malim gunung berdaftar di bawah Persatuan Malim Gunung Kinabalu.
Yamani Hafez berkata Pemuda BN Sabah yang menyambut baik cadangan
kerajaan untuk memberi penghargaan khas dan sumbangan kepada malim
gunung yang terlibat, mencadangkan kerajaan memberi pengiktirafan dengan
menyerap Malim Gunung sebagai Emergency Mountain Rangers (EMR) atau
Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) sebagai persiapan menghadapi
sebarang kejadian bencana yang tidak diingini di masa akan datang.
“Memandangkan mereka tahu setiap inci permukaan dan kawasan laluan ke
puncak Gunung Kinabalu. Mereka akan dibayar elaun bulanan dan diberi
latihan dan peralatan penyelamat yang lengkap seperti yang dicadangkan
oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (yang merupakan anggota
Parlimen Ranau) Datuk Dr Ewon Ebin,” katanya.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau
pada 7.15 pagi Jumaat lepas (5 Jun) itu turut dirasai di kawasan lain
seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Setakat semalam (Ahad), 16 orang disahkan terkorban akibat gempa bumi itu manakala dua lagi mangsa masih belum ditemukan.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment