Monday, June 22, 2015

Mat Sabu Enggan Terima Hakikat, UMNO Juga Menjadi Mangsa!

EDITOR MENULIS...
22 JUN 2015
 
Amarah dan dendam merupakan 2 emosi yang sangat kuat mencengkam di sanubari manusia, apatah lagi jika ianya lahir dari kekecewaan yang dirasai berdasarkan pengalaman-pengalaman tertentu.

Mungkin itu apa yang boleh saya gambarkan ke atas situasi dan keadaan Mat Sabu kini, yang masih belum dapat melupakan kisah penolakan besar-besar perwakilan PAS terhadap diri dan rakan-rakan Anwarinasnya pada muktamar PAS yang lalu.

Bagi saya, selaku kononnya pejuang demokrasi tulen, seharusnya Mat Sabu bermuhasabah dan berfikir sejenak, di mana silapnya sehingga dia ditunjukkan jalan keluar dari saf kepimpinan PAS, dan bukannya terus-terusan menyerang pihak-pihak lain terutamanya UMNO, yang tidak ada kena mengena dengan pemilihan PAS.

Menyentuh soal dakwaan Mat Sabu ini, barangkali dia terlupa, bagaimana pula dengan bantuan yang “diterima” apabila Hadi Awang dikritik habis-habisan oleh deretan pemimpin DAP tanpa henti sejak “Kajang Move”?

Bukankah ini juga boleh jadi salah satu strategi kempen DAP dalam usaha untuk menukar kepimpinan PAS agar dikuasai oleh Mat Sabu dan pro Anwarinas nya?

Apakah Mat Sabu boleh menafikan liputan luas yang diterima oleh Ahmad Awang, dirinya dan juga pro Anwarinas di media-media pro pembangkang? Adakah ini boleh dijadikan bukti, bahawa wujud campurtangan golongan liberal dan anti Islam di dalam pemilihan pada Muktamar yang lalu?

Itu belum hebahan media berkenaan sokongan yang diberikan kepada pro Anwarinas oleh pemimpin DAP serta grafik-grafik undian on-line di mana golongan Anwarinas menjadi pilihan “rakyat”. Apa fungsi hebahan-hebahan sebegini?

Tertekan dan malu, kini Mat Sabu pula menyalahkan media, kononnya itulah cara UMNO membantu golongan ulamak PAS untuk menang besar. Hairan juga saya, kerana setahu saya, Utusan Malaysia dan TV3 sudah lama diboikot oleh PAS, apatah lagi pimpinannya.

Jika mengikut apa yang didendangkan pada ceramah-ceramahnya, Mat Sabu seharusnya jangan percaya apa yang ditulis oleh Utusan dan apa yang ditonton di TV3.  Bukankah begitu?

Pada hemat saya, kalau pun memang sungguh benar Utusan Malaysia dan TV3 memberi liputan meluas kepada pro ulamak PAS, ia sememangnya bertujuan untuk memenangkan Mat Sabu kerana berita-berita “yang tidak boleh dipercayai” itu akan membuatkan orang lebih tidak percaya kepada Hadi Awang dan saf kepimpinannya.

Entah mengapa Mat Sabu pula boleh percaya dengan liputan Utusan Malaysia dan TV3.

Kepada Mat Sabu, kalau pun ingin mengaitkan UMNO dan pro ulamak PAS dengan harapan dapat menimbulkan kebencian ahlul PAS terhadap kepimpinan PAS yang baharu, cubalah cari bukti dan saksi yang lebih kredibel. Kasihan UMNO, kerana sekali lagi setelah berkali-kali, UMNO juga yang dipersalahkan atas perkara diluar bidang kuasanya.

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgSI-ooHmHkZzsfcfIFf8wfj-aKCCBtq35Mq6rjZR1LeAdMt-aERslAmAQCKm5YsI42zPCZ_WkbvsOC4LMzJNTHquTvW832prf0E0Ntv18uQQJX5UUnrIJrw4PI_5Qq0XZyvS9ZyCjkBFX4/s1600/Debat+01.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment