Wednesday, June 10, 2015
Muhyiddin Lawat Sekolah Dan Masjid Rosak Akibat Gempa Bumi Di Ranau
7 Jun 2015, Ranau : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari
ini melawat dua sekolah dan masjid daerah di sini yang rosak akibat
gempa bumi pada Jumaat lepas.
Masjid Daerah Ranau, tempat pertama beliau lawati, diikuti Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Mohamad Ali dan Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Ranau.
Turut mengiringi beliau, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman,
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun,
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk
Abdul Rahman Dahlan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti
Sukiman.
Dalam
lawatan di Masjid Daerah Ranau, beliau diberi penerangan mengenai
kerosakan masjid yang kini ditutup oleh Masidi yang juga Anggota Dewan
Undangan Negeri kawasan Karanaan.
Ketika melawat SMKA Mohamad Ali dan SMK Ranau pula, Muhyiddin diberi
penerangan oleh Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Jame Alip dan taklimat
itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap.
Timbalan perdana menteri kemudian ke Taman Kinabalu di Kundasang bagi
mendengar taklimat bencana serta operasi mencari dan menyelamat mangsa
yang terperangkap di puncak Gunung Kinabalu sebelum berlepas balik ke
Kota Kinabalu.
Kejadian gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter
berlaku pada Jumaat lepas menyebabkan kerosakan beberapa bangunan di
sekitar daerah ini.
Masjid Daerah Ranau mengalami kerosakan beberapa struktur bangunan dan siling bumbung anjung tepi runtuh.
Dua blok kuarters rumah guru SMK Ranau yang menempatkan 23 keluarga
mengalami keretakan menyebabkan ia dikosongkan serta paip bawah tanah
pecah menyebabkan bekalan air di kawasan sekolah ditutup.
Di SMKA Mohamad Ali, kerosakan membabitkan siling sebuah kelas di sekolah itu runtuh.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment