Tuesday, June 23, 2015

Pakatan Terus Serlahkan Diri Sekadar Pakatan Hiburan, Manifestasi Kebodohan

23 Jun 2015, Kuala Lumpur : Bekas Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Hidayat Mohd Shariff berkata, perpecahan dan perbalahan yang berlaku di dalam pakatan pembangkang hari ini merupakan satu manifestasi kebodohan kepimpinan pembangkang itu sendiri.

Menurut beliau, senario politik pembangkang hari ini jelas caca merba dan tidak lagi berpaksi kepada satu keputusan bersama selaku satu pakatan parti politik.
http://www.umno-online.my/wp-content/uploads/2015/06/Syamsul-Hidayat-Mohd-Sharif.png?9a1548
“Hari ini, saya kira benarlah kata-kata bahawa pakatan ini nama sebenarnya ialah ‘pakatoon’. Konflik dalam pembangkang seolah-olah cerita kartun yang membuatkan kita geli hati dan membuat kita ketawa. Pakatan hanyalah sekadar satu pakatan hiburan dan lawak jenaka politik di negara ini.

“Bagi saya, apa yang berlaku hari ini menyerlahkan ketidakmampuan mereka untuk mentadbir. Mereka telah memperlihatkan kebodohan mereka dengan berbalah sesama sendiri sehinggakan kini pakatan umpama seperti retak menanti belah.

“Mereka kata berjuang untuk rakyat, demi rakyat untuk membela rakyat, tetapi hari ini jelas kita boleh nampak bahawa perjuangan mereka hanyalah untuk kepentingan politik peribadi dan kepartian semata-mata,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tegas beliau ini amat berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang terus memperlihatkan kesepakatan mereka sejak puluhan tahun dulu biarpun ianya dibarisi oleh 13 parti berbanding pakatan pembangkang yang  hanya dianggotai oleh tiga parti saja.

“Memanglah BN tidak sempurna. Tidak ada yang sempurna di dunia ini. Kita manusia sentiasa ada salah dan silap. Namun jika mahu dibandingkan BN dengan pakatan pembangkang, bezanya bagaikan langit dan bumi.

“Di dalam BN, kita boleh lihat pelbagai parti daripada pelbagai etnik dan kaum ada bersama, namun perbezaan itu tidak pernah menjadi penghalang bagi mereka untuk membuat keputusan demi kebaikan rakyat. Apa-apa saja keputusan untuk rakyat, ianya pasti diperbincangkan dan diputuskan bersama.

“Namun ini tidak berlaku di dalam pakatan pembangkang. Mereka nak berbincang pun tak boleh, macamana mahu buat keputusan? Kita boleh lihat bagaimana hari ini mereka mengambil keputusan mengikut selera masing-masing. Contohnya di Sabah dan Sarawak, Dap buat keputusan untuk putuskan hubungan dengan Pas, namun di Selangor tidak pula begitu,”jelasnya.

Perkara ini berlaku menurut Shamsul adalah berpunca daripada tidak adanya kesepakatan yang asli dan ikhlas di antara ketiga-tiga parti tersebut.

“Kita dah sebut dari awal lagi, pakatan pembangkang ini diikat atas satu ikatan dasar perjuangan yang tidak kukuh. Mereka tidak boleh kekal lama kerana masing-masing ada agenda kepartian tersendiri, di mana agenda itu pula saling bertentangan antara mereka.

“Sebab itu, saya seru agar rakyat di negara ini buka mata luas-luas dan nilailah kemampuan pakatan pembangkang. Pakatan sekecil itu pun tidak mampu mereka tadbir dengan baik, bagaimana kita mahu meletakkan harapan untuk mereka mentadbir negara.

“Saya harap agar pada PRU akan datang, rakyat membuat keputusan yang tepat dengan pemikiran yang rasional dan bukan emosi untuk menidakkan pakatan pembangkang dari menguasai kerajaan negeri mahupun pusat. Janganlah kita menyerahkan kuasa kepada mereka yang tidak mampu untuk mentadbir, kerana kelak kita sendiri yang akan jadi mangsa,” tegasnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment