Tuesday, June 23, 2015
Seorang Lagi Wanita Diarah Tutup Lutut, Kali Ini di Hospital Sg Buloh
23 Jun 2015, Sungai Buloh : Pengawal keselamatan di Hospital Sungai Buloh dilaporkan
menahan seorang wanita berseluar pendek dan hanya membenarkannya masuk
ke dalam bangunan selepas memakai tuala yang membaluti pinggang hingga
kakinya.
Bagaimanapun, pengarah hospital itu mengambil tindakan pantas dengan
mengeluarkan permohonan maaf dan berkata ia bukan polisi hospital atau
Kementerian Kesihatan untuk menghalang pelawat memasuki bangunan
berdasarkan kepada pakaian mereka, lapor Star Online.
Ini adalah insiden ketiga membabitkan pelaksanaan kod etika berpakaian di bangunan kerajaan.
Wanita terbabit memaklumkan mengenai insiden itu di akaun Facebooknya dan dilaporkan oleh The Star Online.
Dalam kejadian itu, bapa wanita itu dikatakan terpaksa naik ke wad untuk
meminjam tuala daripada pesakit bagi membolehkan anaknya menutup kaki.
“Ketika saya tiba di pintu pagar pelawat, ada beberapa pengawal
keselamatan menahan saya dan berkata ‘awak tidak boleh masuk kerana
pakai seluar pendek’.
“Pengawal keselamatan itu kata ‘ini arahan Kementerian Kesihatan’,” katanya di Facebook.
Tetapi pengarah hospital itu, Dr Khalid Ibrahim mohon maaf, berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku.
“Kita tidak larang mana-mana pelawat masuk ke hospital hanya kerana apa yang mereka pakai.
“Tetapi, kami menggalakkan orang awam untuk berpakaian sopan ketika melawat pesakit,” katanya dipetik daripada The Star Online.
Beliau berkata, mungkin pengawal keselamatan terbabit salah faham
mengenai kod etika berpakaian, dan aduan sudah dibuat kepada syarikat
keselamatan berkenaan.
Kejadian ini susulan episod wanita memakai skirt pendek atas lutut
diberikan kain sarung dipakai untuk menutup kakinya oleh pengawal
keselamatan di pejabat agensi kerajaan.
Insiden pertama ialah di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di
Gombak pada awal bulan ini, apabila seorang wanita yang berpakaian
singkat di atas lutut diminta memakai sarung sebelum boleh mendapatkan
perkhidmatan di kaunter kakitangan JPJ.
Semalam, 2 wanita termasuk wartawan dan seorang penduduk Selangor
terpaksa memakai kain sarung untuk masuk ke bangunan Setiausaha Kerajaan
Negeri (SUK).
Kod etika berpakaian di semua tempat awam ini melarang baju tanpa lengan serta seluar dan skirt pendek.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment