Sunday, June 21, 2015
PasMa Calon 'Cina Buta' Terbaik Jodohkan Semula PAS-DAP
Demi kasih sayang dan cinta pada PAS, nampaknya hanya Datuk Phahrolrazi
Zawawi dan rakan-rakan seperjuangannya dalam Persatuan Ummah Sejahtera
(PasMa) sahaja dilihat calon terbaik menjadi ‘Cina Buta’ menjodohkan
kembali PAS dengan DAP.
Ini kerana PasMa sejak mula penubuhannya tahun lalu melaungkan matlamat
utamanya ialah untuk merapatkan lagi hubungan politik ketiga-tiga parti
kerabat Pakatan Rakyat.
Kerja ini serius kerana dalam perbalahannya dengan PAS, parti dominasi
Cina itu nampaknya sudah banyak belajar memahami pemikiran PAS dan
selok-belok agama Islam.
Misalnya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang apabila melihat jalan buntu dalam
memulihkan hubungan partinya dengan PAS, menyimpulkan bahawa pilihan
yang tinggal ialah untuk “mentalkin dan mentahlil” Pakatan Rakyat.
Sementara ahli exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim pula menrumuskan
bahawa kini PAS dan DAP sudahpun bercerai talak tiga. DAP tahu bahawa
untuk membatalkan hukum cerai itu DAP berkahwin dengan calon lain
terlebih dulu. Ini namanya Cina buta.
Rumusan sinis Kit Siang itu tidak mendapat reaksi PAS yang memutuskan
dalam muktamarnya lalu bahawa ia tetap bersama dalam Pakatan Rakyat.
Lantas tidak timbul soal perlu talkin atau tahlil untuk pakatan politik
berusia enam tahun itu.
Kini terpulang pada kebijaksanaan PasMa mengotakan katanya mempererat
hubungan politik di kalangan PKR, PAS dan DAP. Ia harus sedar
pendiriannya bukan satu retorik, jika tidak, ia akan bermula dengan
langkah yang salah.
PasMa harus menjadi ‘rumah penyejuk politik’ bagi Pakatan Rakyat.
Pemimpin kumpulan profesional yang tewas dalam pemilihan muktamar PAS
lalu boleh tumpang berteduh seraya merawat amarah dan kekecewaan mereka.
Justeru bila bertenang dan insaf betapa 52 peratus pengundi Malaysia
mahu pakatan itu memimpin Malaysia dalam pilihanraya umum lalu, mereka
harus kembali ke pangkuan PAS dan turut menunaikan amanah yang
diberikan.
Hakikatnya ialah, PAS dan DAP sudah bercerai talak tiga. Dalam proses
perceraian itu DAP sudah banyak mengungkit mbangkit status quo betapa ia
(DAP) adalah parti paling banyak kerusi parlimen dalam pakatan itu.
PAS, bak kata PKR, haruslah jangan mudah tersinggung dengan kenyataan
DAP itu kerana maklumlah bila ada sengketa dalam rumah tangga pelbagai
ungkitan dan tuduhan akan dibuat.
PasMa perlu mansuhkan perceraian PAS-DAP dengan segera menikahi DAP yang
menjadikan golongan profesional PAS yang tewas dalam pemilihan 4 Jun
lalu sebagai anak-anak tiri Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Tentu PasMa
faham peranan Cina Buta.
Bagaimanapun PasMa tidak boleh lupa diri bila sudah tidur sebantal
dengan DAP bahawa peranannya sebagai ‘Cina Buta’ itu tidak harus
berkekalan. Matlamatnya ialah untuk menjodohkan kembali DAP dengan PAS.
Namun dalam perkahwinan lazimnya tidak semua perancangan menjadi.
Mungkin PasMa leka, alpha dan lupa jalan pulang. Ini kerana khabarnya,
PasMa pun ada merancang menghuni rumah baru bersama DAP sebelum ini.
Sosek politik berkata bahawa parti KITA yang didaftarkan di bawah nama
bekas menteri Umno, Datuk Zaid Ibrahim akan menjadi teratak mastautin
tetap PasMa dan anak-anak tiri DAP. Harap-harap PasMa tidak lupa diri.
Phahrolrazi harus insaf jika PasMa tidak bertindak segera, perkahwinan
politik PAS-DAP mungkin tidak dapat diselamatkan. Ini kerana anak-anak
buah Kit Siang sudah ramai bertanya bila PAS mahu meninggalkan Pakatan
Rakyat.
Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sudah pun diberi kata-dua – kekalkan
DAP dalam kerajaannya atau bentuk perikatan bersama PAS -- oleh Ketua
DAP Selangor Tony Pua.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu bersetuju dengan penegasan Ketua
Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, bahawa Azmin mesti menentukan
pendirian PKR berikutan perhubungan PAS-DAP sudah terputus secara sah.
“Saya setuju. PAS mahu Azmin memutuskan di mana pendiriannya. DAP
berpendapat sama juga. Maka Azmin mesti membuat keputusan,” kata Pua di
luar Dewan Rakyat.
Namun PAS bersedia melawan api dengan api. Dewan Ulama PAS Selangor
mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memecat kesemua
ahli PAS dalam jawatan lantikan kerajaan di negeri pimpinannya.
Setiausahanya, Muhammad Najhan Halim berkata, ia susulan tindakan
pemimpin DAP yang gopoh menggesa kepimpinan baru PAS mengarahkan wakil
partinya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang melepaskan jawatan.
"Sekiranya DAP benar-benar ingin melihat PAS tiada dalam kerajaan Pulau
Pinang, lebih senang, cepat dan lebih profesional Lim Guan Eng sendiri
sebagai Ketua Menteri memecat semua Ahli PAS dalam jawatan lantikan
kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Najhan berkata, ahli atau wakil PAS dalam pentadbiran di
Pulau Pinang tidak perlu panik dengan kenyataan Guan Eng itu.
Ini kerana, katanya, isu berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Syura Ulama
dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sebelum keputusan muktamad dibuat.
Sehingga itu, katanya, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat dalam meneruskan
tahaluf siyasi dan kerajaan PKR di Selangor tidak terjejas dengan usul
tersebut.
"Segala urusan kerajaan di Selangor hendaklah diteruskan seperti biasa
demi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang memberi mandat kepada
Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor," katanya.
Namun DAP tetap menyeringaikan taring politiknya. Ahli parlimennya, Lim
Lip Eng dengan nakal bertanya Naib Presiden baru PAS, Datuk Iskandar
Abdul Samad bila beliau dan rakan-rakannya akan meletakkan jawatan di
Selangor.
Katanya, meletakkan jawatan adalah tindakan beretika bagi Iskandar dan
lain-lain Exco dari PAS memandangkan jawatan mereka adalah hasil
kerjasama dengan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Sebenarnya, adakah Iskandar sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor bersetuju
dengan usul memutuskan hubungan dengan DAP diluluskan tanpa debat di
muktamar PAS minggu lalu?
“Jika tidak, teruskan duduk di pejabat Exco. Atau mungkin Iskandar tidak
kisah dengan usul itu dan hanya mahu mengekalkan jawatannya?” Lim
bertanya.
Namun yang membingungkan ialah apabila bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat, Hanipa Maidin, melontarkan pandangan bahawa PAS perlu keluar
daripada Pakatan Rakyat (PR) agar tidak dituduh hipokrit.
"Kalau mereka tidak berani bertegas dengan pendirian keras mereka
seperti yang dijelmakan di pra muktamar dan masih mahu terus ingin
bersama Pakatan (tanpa DAP) mereka pasti akan ditertawakan.
"Mereka juga mungkin sukar melarikan diri dari tuduhan bahawa segala apa
yang dicakap dan dibuat sebelun muktamar hanya semata-mata untuk menang
dalam muktamar," katanya dalam satu kenyataan.
Keadaan semakin haru dalam PAS. Jika benar PasMa sayangkan PAS, eloklah
ia menawarkan menjadi ‘Cina Buta’ bagi mengizinkan PAS dan DAP bergabung
kembali. Namun persoalannya, mahukah ulama?
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment