Wednesday, June 24, 2015
Pembersihan Kumpulan “Liberal Pragmatik” Dalam PAS...Habis Dengar Nak Ambil Yang Kalah Bertanding Pulak?
Muktamar PAS ke-61 yang baru berlangsung dilihat sebagai strategi
“pembersihan” kumpulan tidak diingini yang dikaitkan dengan fahaman
“liberal pragmatik” yang boleh menjejas jangka panjang ideologi
perjuangan parti itu sendiri.
Strategi ini bukannya ingin menyingkirkan kelompok profesional atau
“progresif Islam” daripada mendukung perjuangan PAS tetapi perjuangan
PAS amat memerlukan dukungan wala’ (ketuaan), baiah dan taah dalam saf
pimpinan dan kepengikutannya.
Wujud jamaah dalam jamaah yang menyebabkan hadaf (hala tuju) perjuangan
menjadi kacau. Sekiranya tidak dijernihkan kembali PAS akan menghadapi
pertarungan kepimpinan dan kepengikutan yang lebih sengit.
Ada kumpulan yang berorientasikan Ikhwan Muslimin mahukan PAS mengikuti
caranya dan jumlahnya sudah semakin besar di luar an di dalam jamaah
politik PAS.
Ini ditambah dengan gerakan Suara al Islam yang aktif di United Kingdom
sekitar 80-an memperjuangkan negara republik di samping kelompok ‘imej
Syiah’ yang tentunya bercanggah dengan perjuangan berlandaskan Ahli
Sunnah Wal Jamaah.
Isu jamaah dalam jamaah memang disedari oleh Allahyarham Fadzil Nor lagi
kerana kumpulan ini menjadi dedalu dan disedari oleh Datuk Seri Abdul
Hadi Awang kemudiannya kerana pengaruhnya semakin kuat dalam PAS.
Kenyataan Abdul Hadi dalam muktamar memperlihatkan dengan jelas bahaya
kelompok liberal, sekular pragmatik ini kerana aliran ini cuba
menyerasikan diri dengan faham sosialis demokratik DAP dan liberal
pragmatik PKR. Membaca buku Mujahid Yusof Rawa (Pas) mengenai politik
baru dan Khalid Jaafar (PKR) terbitan IKD membuktikan hakikat ini.
Ada dua fitnah utama yang ditujukan kepada Abdul Hadi dalam mendepani
cabaran dedalu ini. Pertama, beliau ingin merintis jalinan UG (United
Government) dengan UMNO. Kedua, Abdul Hadi tidak mampu menerima kritik
kelompok profesional yang menguasai Jawatankuasa Tertinggi Parti pada
waktu itu.
Isu pertama UG cuba diserap ke akar umbi kerana kebencian mereka
terhadap kerjasama dengan UMNO masih kuat. Isu Kelantan semasa dan pasca
banjir dijadikan alasan, dukungan UMNO Kelantan kepada Enakmen Syariah 2
sebagai bukti walaupun pertimbangan UMNO dan Kerajaan Persekutuan
adalah atas asas tanggungjawab kemanusiaan dan syariah.
Fitnah kedua ialah memberitahu khalayak bahawa PAS anti golongan
profesional sedangkan dalam Jawatankuasa Kerja PAS yang baharu tidak
kurang didukung oleh orang profesional. Akibatnya kepimpinan baharu
dilabel sebagai konservatif manakala mereka yang tidak sehaluan dilabel
sebagai progresif Islam.
Meneliti sistem tarbiyah siasi PAS wujud kegagalan melakukan
transformasi mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama
menyebabkan tidak berlakunya sinergi ulama-profesional lantaran kelompok
profesional mempunyai cita-cita tersendiri untuk menguasai PAS.
Kepimpinan PAS orientasi ulama terdedah dengan pemikiran Hassan Al
Banna, Hassan Hudhaibi dan Syed Qutb iaitu pimpinan utama yang
menggerakkan Ikhwan Muslimin. Ruh tarbiyyahnya diambil tetapi PAS
akhirnya mahu berjejak dengan waqi’ atau realiti Malaysia dengan
masyarakatnya yang majmuk tetapi kelompok profesional ini mempunyai cara
yang lain untuk membina negara Islam.
Cabaran yang dihadapi oleh PAS kini tidak sifatnya teknikal tetapi lebih
ideologikal. Walaupun jumlah undi yang mereka terima dalam lingkungan
25-30% perwakilan tetapi pengaruh kelompok ini sedang menguasai
institusi pendidikan dalam dan luar negeri, institusi profesional dan
teknikal dan kepatuhan kepada jamaah mereka semakin kuat.
PAS memerlukan tahap kedua selepas “pembersihan” ini supaya khalayak
tahu faktor yang menyebabkan Abdul Hadi dan teman kepimpinannya dalam
ulama mengambil strategi demikian.
Lebih-lebih lagi kelompok ini dikaitkan dengan perjuangan peribadi Anwar
Ibrahim menguasai Malaysia dengan dukungan DAP dan PAS sejak 2008 lagi.
Abdul Hadi menyedari strategi Anwar dan dukungan DAP untuk strategi
jangka panjang politik Malaysia yang merugikan umat Islam.
Ternyata sekiranya Majlis Syura Tertinggi Pas membuat penegasan keluar
dari Pakatan, kelompok ini sedang merancang menubuhkan parti baru
berlandaskan organisasi Pasma bagi mengukuhkan pakatan pembangkang.
Pastinya mereka bakal menjadi “ayam-laga” melawan PAS terutama dalam
PRU-14 nanti.
Kelompok yang tersingkir daripada kepimpinan PAS yang baharu adalah
tokoh berpengalaman dalam perjuangan politik dan jamaah. Dalam sejarah
PAS seperti yang terjadi kepada Datuk Asri Muda dan Datuk Md. Nasir,
jangka panjangnya tidak memberi kesan.
Pada hemat penulis kelompok yang terpinggir ini mempunyai strategi
sendiri supaya kepimpinan baharu PAS mampu dihadapi dengan cekal dan
berkesan. Kepimpinan baharu harus agresif mendatangi kelompok akar umbi
supaya fitnah terhadap Abdul Hadi dan kepimpinan ulama dapat
diperjelaskan. Banyak perkara yang Abdul Hadi tahu tentang Anwar dan
strategi jangka panjang DAP tidak diceritakan kepada ahli akar umbi.
Ahli akar umbi lazimnya bersifat patuh dan ikut (sami’na waata’na)
kepada kepimpinan apalagi ulama.
Perhimpunan golongan terpinggir baru-baru ini di Serom, Johor, yang
menghadirkan kepimpinan utama mereka dan juga ribuan penyokong harus
mendapat perhatian kepimpinan PAS yang baharu.
Penjelasan lebih tulus dan telus dalam konteks jamaah dalam jamaah harus
dilakukan kerana PAS tidak harus menjadi tempat bertenggek parasit dan
dedalu politik yang ada cita-cita tersendiri. PAS harus meyakinkan akar
umbi bahawa cita-cita UG dengan UMNO adalah fitnah besar untuk
menimbulkan rasa marah dan kebencian akar umbi terhadap kepimpinan
ulama.
UMNO sendiri tidak mengambil sikap agresif ke arah UG ini walaupun
Perdana Menteri membuat kenyataan terbuka untuk bekerjasama. Ini hanya
ketakutan sesetengah orang PAS yang menganggap UMNO kafir dan taghut
serta sifatnya lebih dahsyat daripada DAP atau Yahudi.
Pas harus belajar daripada kesilapan lalu. Pas sering menggunakan
label-label yang tidak Islamik terhadap orang lain khususnya UMNO, yang
lebih bersifat retorik dan persepsi salah menyebabkan perpecahan warga
umat terjadi.
Kini label-label itu sedang menghala kepada orang PAS iaitu Pasma dan
keadaannya semakin tidak terkawal. Apakah ini petanda Allah ekoran suatu
ketika PAS halakan serangan itu kepada orang Islam daripada UMNO dengan
label zalim, taghut dan kafir?
Jika ini terus terjadi bayangkan perpecahan umat Melayu akan menjadi
lebih parah. Sebagai orang yang mendukung Islam, jiwa dai’ dan murabbi
(pendakwah dan pendidik) wajib menjadi dustur atau pedoman dalam
menyantuni politik.
Kalau dibenarkan nafsu amarah bissuk menjadi pedoman perjuangan, tunggulah kehancuran bakal terjadi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment