Friday, June 19, 2015

Permainan Politik Mengatasi Kebajikan Rakyat - Tan Sri Khalid Ibrahim

19 Jun 2015, Kuala Lumpur : Permainan politik kembali mengatasi tumpuan terhadap memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kata bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya beliau melepaskan jawatannya dahulu semata-mata demi faedah rakyat, tetapi malangnya pengunduran beliau tidak meredakan sikap tamak dan sombong ahli politik yang mendakwa mereka memperjuangkan pembaharuan, kesaksamaan dan keadilan.
http://cdn.denaihati.com.my/wp-content/uploads/2014/07/gambar-khalid-ibrahim.jpg
"Kesudahannya, peletakan jawatan saya ternyata sia-sia sahaja apabila kepercayaan rakyat disalah guna dengan sewenang-wenangnya.

"Ketika saya menjadi menteri besar dahulu, saya dan pasukan saya menghabiskan banyak masa untuk cuba menenangkan kumpulan ahli politik ini, hingga mengorbankan hak serta kepentingan rakyat," kata Khalid dalam satu kenyataan.

Mengenai perkembangan dalam Pakatan Rakyat, yang disiytiharkan DAP sebagai sudah tidak lagi wujud, beliau berkata ketaksuban para pemimpin negeri itu terhadap politik mengakibatkan berlaku perpecahan dalam pakatan pembangkang serta "membelakangkan semakin banyak isu penting berkaitan rakyat".

Khalid berkata para pemimpin Pakatan, yang gemar menggelarkan diri mereka sebagai pejuang rakyat, perlulah mengamalkan kepimpinan melalui teladan serta melayan rakan, sekutu, penyokong dan pihak yang bersimpati dengan mereka dengan penuh rasa hormat dan bermaruah.

"Melakukan campur tangan terhadap isu dalaman sesebuah parti tidak seharusnya dijadikan suatu norma dalam mana-mana gabungan, lebih-lebih lagi Pakatan Rakyat.

"Tamak, tidak peka dan tidak bermaruah kesemuanya merupakan perencah yang melahirkan perasaan curiga secara mendalam, tidak boleh bekerjasama dan akhirnya membawa perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Perkara paling menyedihkan ialah akhirnya, rakyatlah yang menanggung kerugian paling besar," katanya.

Khalid terpaksa meletakkan jawatan sebagai menteri ketika berlaku krisis kepimpinan di Selangor tahun lepas dan digantikan pesaing politik beliau, Mohamed Azmin Ali.

Krisis itu mencetuskan ketegangan antara PAS dan PKR serta DAP, yang menyokong presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala PAS menentang pendirian menamakan beliau sebagai calon tunggal bagi jawatan menteri besar.

Dipetik daripada sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment