Sunday, June 21, 2015
PM Ingatkan Rakyat Tidak Buruk Imej Negara
21 Jun 2015, Pekan : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat
agar tidak memburuk-burukan imej negara terutama di peringkat
antarabangsa kerana tindakan itu hanya akan menjejaskan keyakinan negara
luar terhadap Malaysia.
Beliau berkata sebaliknya persepsi yang baik terhadap negara akan
memberi manfaat kepada negara dalam pelbagai bidang seperti pendidikan,
ekonomi dan teknologi.
"Saya baharu balik daripada melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan
dalam lawatan itu Malaysia diberi penghormatan tertinggi oleh Raja
Salman Abdulaziz Al Saud.
"Mengikut jadual, baginda sendiri yang mahu menyambut kedatangan saya di
Lapangan Terbang Jeddah. Tetapi apakan daya kakak baginda meninggal
dunia menyebabkan baginda terpaksa ke Riyadh dan menggantikan Putera
Mahkota, menteri-menteri kanan dan barisan penghormatan yang diberikan
oleh tentera Arab Saudi di lapangan terbang," katanya.
Perdana menteri berkata demikian pada majlis pengagihan buah kurma, air
zam zam dan baju Melayu kepada masjid dan surau di dalam kawasan
Parlimen Pekan di Masjid Jamek Batu 8, Jalan Gambang di sini pada Sabtu
malam.
Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Menurut Najib, pengiktirafan yang diberikan oleh raja yang menjadi
penjaga kepada dua masjid penting umat Islam iaitu Masjid Nabawi dan
Masjidil Haram menunjukkan baginda mempunyai pandangan tinggi terhadap
kerajaan Malaysia.
"Inilah bukti imej kita tinggi dan perkara inilah yang mesti kita pelihara dan tingkatkan," katanya.
Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan turut menunaikan solat Isyak dan
diikuti solat tarawih bersama-sama penduduk di sekitar kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis.
Terdahulu dalam majlis berbuka puasa di Masjid LKNP di sini, beliau
menyeru umat Islam di Malaysia untuk sentiasa bersyukur dengan keamanan
dankeselamatan yang dinikmati di negara ini.
Perdana menteri berkata tidak semua umat Islam bertuah menikmati 'rezek'
itu yang menyebabkan ada segelintir umat Islam di negara lain terpaksa
melarikan diri ke tempat lain bagi mendapatkan kehidupan yang lebih
baik.
"Kita lihat etnik Rohingya yang sanggup bergadai nyawa, menjual harta
mereka untuk keluar negara dan mereka ini memilih untuk datang ke
Malaysia.
"Apabila sampai di Malaysia, mereka cium tanah Malaysia ini, seolah-olah tanah ini syurga kepada mereka," katanya.
Najib juga berkata Malaysia juga menjanjikan rezeki kepada mereka yang rajin berikhtiar dan berusaha dalam kehidupan mereka.
"Contohnya hari ini, saya berkesempatan ke bazar ramadan di Pekan. Di
sini antara yang popular ialah martabak. Saya bertanyakan kepada penjual
martabak, berapa keping yang beliau jual pada hari pertama puasa.
"Beliau jawab 400 keping. Bayangkan jika 400 keping itu berjaya dijual
untuk tempoh lima hari. (Ini contoh rezeki mudah di Malaysia),"
katanya.
Dipetik daripada sumber : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment