Sunday, June 21, 2015

Bulan Bererti Buat 11 Banduan di Perak...Sepatutnya Bersyukur

Tentu sahaja bagi 11 banduan ini, Ramadhan kali ini jauh lebih bererti. Mana tidak semua mereka menerima berita baik dari pihak lstana.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah  berkenan memberi mereka pengampunan. Mereka dibebaskan Khamis.

Dengan itu mereka kini bebas dan dapat bersama-sama keluarga masing-masing menyambut bula Ramadhan dan adil fitri tahun ini.

Lebih teruja buat seorang banduan apabila hasrat melihat anaknya bernikah menjadi satu kenyataan.

Kesebelasan banduan yang itu menjalani hukuman penjara di Penjara Tapah atas kesalahan membabitkan diri dalam perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 2009. Ia gara-gara membantah pelantikan Menteri Besar baharu.

Untuk rekod pada ketika itu mereka membantah perlantikan DS Dr.Zambry Abd Kadir, yang bakal mengangkat sumpah di depan  Almarhum Sultan Azlan Shah.

Kenderaan yang membawa Sultan Nazrin yang ketika itu Raja Muda Perak cuba dihalang memasuki Istana Iskandariah.

Dr.Zambry menggantikan Nizar Jamaluddin yang kehilangan jawatan ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat yang berusia 11 bulan itu. Ini berlaku apabila tiga ADUN dari PR memilih keluar dan menyokong Barisan Nasional.

Dalam satu kenyataan Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak Darul Ridzuan, Datuk Razali Othman menjelaskann Sultan Nazrin telah mempengerusikan mesyuarat lembaga pengampunan berkenaan Khamis.

Satu rayuan permohonan mereka dipersembahkan secara terus kepada baginda oleh 11 banduan berkenaan yang telah dikenakan hukuman penjara 10 bulan bermula 28 Mac lalu.

Sultan Nazrin berpuas hati  penjelasan pegawai Penjara Tapah bahawa kesemua 11 banduan ini menunjukkan keinsafan dan berkelakuan baik ketika berada dalam penjara.

Katanya baginda juga berpuas hati dengan pengakuan keinsafan banduan atas kesalahan dilakukan dan berjanji tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

"Setelah meneliti rayuan banduan-banduan, dalam semangat menghadapi bulan Ramadan, baginda atas ehsan dan budi bicara telah menitahkan supaya 11 banduan yang telah disabit kesalahan dan telah menjalani hukuman penjara sejak 18 Mac lalu, diremitkan baki hukuman penjara dan dibebaskan pada 18 Jun 2015 bersamaan 1 Ramadan 1436H untuk membolehkan mereka menunaikan ibadah puasa bersama keluarga,"katanya.

Untuk rekod, seorang dari 12 banduan menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama diberi pengampunan sebelum ini sempena hari pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke35. Ini kerana beliau membuat rayuan terus kepada baginda.

Manakala 11 lagi membuat rayuan melalui pihak ketiga.

Dari 11 banduan, seorang banduan mempunyai cerita tersendiri apabila dibebaskan Khamis.

Bad Latif Mansor 49 tahun mengucapkan rasa syukur kerana dibebaskan pada hari pertama Ramadan, malah tambah gembira apabila kini berpeluang menguruskan majlis perkahwinan anak sulungnya selepas Aidilfitri.

Pada mula beliau merasa tertekan kerana pertama kali menjadi penghuni tirai besi, selain terpaksa berjauhan daripada angggota keluarga. Beliau mempunyai empat orang anak.

Dalam hati rasa terkilan apabila setiap kali memikirkan dia perlu menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri sekadar bertemankan rakan banduan lain bukan bersama-sama anggota keluarga.

"Bila terkenangkan Ramadan dan Syawal, saya terus rasa sayu, tetapi syukur Alhamdulillah dapat pengampunan Sultan Perak.

"Walaupun baru sahaja dibebaskan hari ini, dah ada banyak perancangan yang akan dilakukan melibatkan hal keluarga.

"Selain berpeluang berpuasa dan beraya bersama keluarga, saya juga dapat lihat anak sulung kahwin lepas hari raya nanti," katanya.

Anak lelaki sulungnya Anas, 22, bakal berkahwin pada 30 Ogos depan dan tarikh perkahwinan itu sebenarnya telah dipersetujui keluarga kedua belah pihak sebelum dia dipenjara.

"Tarikh perkahwinan sudah pun ditetapkan lebih awal lagi. Tetapi bila saya dihukum penjara, saya berpesan kepada isteri supaya teruskan majlis perkahwinan walaupun tanpa saya. Nak kata sedih, memanglah sedih sebab tak dapat lihat anak kahwin.

"Tapi sekarang saya cukup bersyukur dan terharu dengan peluang yang diberikan Sultan Perak kerana 'menghadiahkan' pembebasan ini untuk bersama keluarga malah dapat membantu persiapan untuk perkahwinan anak nanti," katanya.

Mengenai pengalamannya di penjara sejak Mac lalu, beliau berkata, hukuman itu mengajarnya mengenali tentang diri sendiri serta hubungan kemanusiaan.

"Saya banyak bermuhasabah diri dan mempertingkatkan amalan agama. Saya juga banyak berinteraksi dengan banduan-banduan lain yang membuatkan saya belajar tentang kemanusiaan," katanya.

Sementara itu, isteri Bad Latif, Nashita Md Noor, 49,  mengucapkan syukur di atas berita gembira pada hari pertama Ramadan.

"Pengampunan untuk pembebasan suami sememangnya berita gembira buat saya dan Alhamdulillah ia berlaku pada hari pertama Ramadan, saya melihatnya sebagai satu bonus," katanya. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment