Perdana Menteri turut mengumumkan kelulusan pembinaan Hospital Padang Besar.
Monday, June 01, 2015
PM Yakin Perlis Kekal Kubu Kuat BN
30 Mei 2015, Kangar : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin
Perlis akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) selepas
menerima sokongan daripada “dua kepala” di negeri utara tanah air itu.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, sokongan yang diterimanya
daripada “kepala politik” Datuk Seri Shahidan Kassim dan “kepala
kerajaan” Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man amat penting kepada
kekuatan BN negeri.
“Di Perlis ada dua kepala, satu kepala politik dan satu lagi kepala
kerajaan. Jika dua-dua kepala ini sehaluan maka Perlis akan jadi kuat.
Sebelum ini kepala politik Shahidan telah memberi sokongan tidak
berbelah-bagi kepada saya dan sebentar tadi tadi kepala kerajaan kata
biar kilat sabung-menyabung beliau akan beri sokongan.
“Ini menjadikan saya boleh tidur lena dan tidak keseorangan. Sokongan
ini penting kerana kita perlukan kerajaan yang kuat,” katanya kepada
kira-kira 5,000 yang hadir pada majlis jamuan mesra rakyat Perlis di
Dewan 2020 di sini hari ini.
Terdahulu, Azlan dalam ucapannya pada majlis itu telah menyatakan
sokongan tidak berbelah-bahagi kepada perdana menteri dan kerajaan.
Shahidan yang merupakan bekas Menteri Besar Perlis ialah anggota Parlimen Arau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut Najib, parti memerlukan sokongan yang padu daripada semua
pihak untuk memastikan ia disegani dan dihormati oleh semua pihak dan
tidak dilihat lemah.
“(Jika parti lemah) Bukan sahaja orang tidak menghormati parti kita,
tetapi juga akan menganggap parti kita akan hilang kuasa pada pilihan
raya akan datang,” katanya.
Dalam konteks negeri Perlis dan berdasarkan kepada sejarah, Perdana
Menteri berkata Perlis telah membuktikan negeri itu tetap “bumi” BN.
Beliau memberi jaminan akan bekerjasama dengan kepimpinan politik dan
kerajaan negeri untuk memastikan hakikat Perlis kekal kubu kuat BN
menjadi realiti.
Selain soal politik, Najib berkata segala aspirasi rakyat akan
dipenuhi oleh kerajaan pimpinan BN dalam memastikan pembangunan sama
rata kepada semua peringkat rakyat.
Najib berkata dari segi pembangunan, Perlis ialah negeri yang
terbatas punca kewangannya dan memerlukan sokongan dan bantuan
berterusan daripada kerajaan pusat untuk terus membangun.
“Saya amat prihatin dari segi projek-projek utama. Saya tahu Perlis
terbatas dari segi punca kewangannya untuk projek-projek utama yang
hendak dilaksanakan di Perlis”.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan pusat secara prinsipnya
bersetuju meluluskan projek pembangunan Lembah Chuping dan hab lojistik
Padang Besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.
Perdana Menteri turut mengumumkan kelulusan pembinaan Hospital Padang Besar.
“Komitmen saya adalah untuk melihat negeri Perlis terus maju,” katanya.
Terdahulu, Najib yang juga Pengerusi BN mengadakan perjumpaan
tertutup dengan pemimpin-pemimpin BN negeri, selain menghadiri taklimat
pembangunan negeri.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment