Monday, June 01, 2015
Najib Garis Lima Falsafah Kerajaan Untuk RMK11
1 Jun 2015, Putrajaya : Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima
falsafah kerajaan untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) iaitu kerajaan
yang propertumbuhan, prorakyat, properniagaan, mesra alam sekitar dan
menekankan proses pembinaan negara.
Perdana Menteri ketika menggariskannya pada perhimpunan bulanan
Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini berkata sebagai kerajaan
dan pegawai pentadbiran, RMK11, iaitu rancangan pembangunan antara 2016
dan 2020, perlu menjadi fokus utama.
“RMK11 merupakan satu lonjakan atau pun pusingan terakhir sebelum
memasuki gelangang untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.
“Kita
jangan membiarkan apa-apa perkara lain menarik perhatian kita,
mengesampingkan perhatian kepada agenda utama negara,” katanya.
Menghuraikan falsafah kerajaan propertumbuhan, Najib yang juga
Menteri Kewangan berkata kerajaan perlu melaksanakan dasar-dasar yang
membawa kadar pertumbuhan tinggi dan sederhana.
“Kalau kita tidak ada kadar pertumbuhan, kita akan menghadapi banyak
masalah kesukaran, kita akan kekurangan hasil, peluang pekerjaan dan
pelaburan.
“Ini amat sukar bagi kita mengagihkan kekayaan negara supaya ia lebih
seimbang dari segi kumpulan etnik. Kita mesti propertumbuhan,” katanya.
Bagi teras kerajaan prorakyat, Najib berkata kerajaan perlu mencapai
kadar pertumbuhan yang baik dan memberangsangkan agar dapat mengagihkan
kekayaan kepada rakyat.
“Kita mesti merupakan sebuah kerajaan prorakyat dalam erti kata lain
ekonomi keperluan rakyat.
Itulah kita mesti laksanakan dari segi
pengagihan kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40), menaikkan
pendapatan isi rumah, menentukan kemahiran dan pendidikan yang lebih
tinggi dan menangani kos sara hidup.
“Inilah sebuah kerajaan yang prihatin kepada ekonomi keperluan rakyat,” katanya.
Menerangkan objektif ketiga, Najib berkata Malaysia perlu menjadi
sebuah kerajaan properniagaan dengan memperkasakan ekonomi negara.
Beliau berkata peranan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan korporat perlu menjadi pemandu ekonomi.
“Kalau ada keputusan yang boleh membuat sektor swasta dan GLC
bergerak lebih pantas dan maju bagi menambahkan pelaburan dan memudahkan
mereka membuat keputusan berkaitan perniagaan, kita patut melakukan.
“Bukan kita menjadi halangan atau meletak rintangan tetapi kita
membantu mewujudkan sistem ekonomi yang properniagaan kerana perniagaan
yang maju, (menambah) pelaburan, peluang pekerjaan dan penjanaan
kekayaan menjadi lebih nyata,” katanya.
Mengenai falsafah keempat, Najib berkata kerajaan mestilah mesra alam sekitar dan pembangunan lestari.
“Pada akhir tahun lepas, banjir besar yang melanda sebahagian
daripada negara kita dan ia satu pengajaran besar bagi kita. Kalau kita
tidak menjaga alam sekitar, maka akhirnya kita akan dihukum,” katanya.
Selain faktor ekonomi dan alam sekitar, Najib berkata kerajaan juga
perlu menekankan proses pembinaan negara yang mana proses itu masih
belum selesai.
“Kita mesti merupakan kerajaan mengamalkan dasar-dasar pada pengukuhan perpaduan dan solidariti antara kaum dan agama.
“Semua ini adalah berpaksikan kepada kefahaman falsafah sederhana dan wasatiyyah dan berteraskan prinsip satu Malaysia.
“Ini adalah teras secara mudah kepada lima tahun yang akan datang untuk negara Malaysia yang tercinta,” katanya.
Najib juga berharap perkhidmatan awam ditingkatkan bagi mendokong segala impian dan aspirasi negara.
“Sudah ada kemajuan dan pencapaian dan masih ada ruang untuk terus
meningkatkan pentadbiran awam bagi merealisasikan impian dan cita-cita
negara,” katanya.
Najib turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Kaamatan
dan Hari Gawai kepada warga perkhidmatan awam yang menyambutnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment