Monday, June 01, 2015

Dakwaan Tidak Bantu Negeri Pembangkang Satu Pembohongan Besar

1 Jun 2015, Kuala Lumpur : Dakwaan kononnya kerajaan Persekutuan tidak menyalurkan bantuan kepada negeri di bawah penguasaan pakatan pembangkang bukan sahaja mengenepikan fakta malah satu perbuatan pembohongan besar, demikian pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Hajah Halimaton Saadiah Bohan.

Beliau  mengulas dakwaan segelintir pemimpin kerajaan negeri pakatan pembangkang bahawa mereka dianaktirikan di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
mrt-corp1 
Jelas kenyataan itu merupakan satu bentuk pembohongan yang besar, konon dianaktirikan walhal hakikatnya bantuan Kerajaan Persekutuan tetap diberikan walaupun berlainan kecenderungan fahaman politik, ujarnya lagi.

“Atas semangat federalisme, Kerajaan Persekutuan tetap menunaikan tanggungjawabnya dengan memberi dana kepada kerajaan-kerajaan negeri secara tahunan.

“Kenapa yang itu tidak diceritakan kepada rakyat mereka? Takut hendak beritahu kerana takut rakyat tahu kebenaran?” soal beliau.

Menurut Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor itu lagi, rakyat tidak perlu lihat jauh, lihat sahaja bantuan-bantuan yang telah kerajaan salurkan seperti bantuan awal persekolahan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan sebagainya terus kepada rakyat, juga termasuk di negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

“Apakah itu tidak dikira sebagai keprihatinan Kerajaan Persekutuan? Yang menyalurkan bantuan terus kepada kumpulan sasaran.

“Lihat pula di dalam RMK11, Pulau Pinang disenaraikan sepuluh projek baharu bernilai RM2.3 bilion untuk menaik taraf lebuh raya dan laluan sekitar negeri itu, di Kelantan dengan projek tebatan banjir, projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,” katanya lagi kepada UMNO-Online.

Begitu juga Selangor, memperolehi RM564.6 juta peruntukan daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) untuk penyelenggaraan jalan seluruh negeri itu serta projek-projek mega infrastruktur seperti projek ‘Mass Rapid Transit’ (MRT) jajaran pertama dan kedua serta Transit Aliran Ringan (LRT3) yang terlebih dahulu diperolehi, jelasnya lagi.

“Cuma ada peruntukan-peruntukan yang disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan yang terbabit sebagai pemudah cara dan bagi mengurangkan kerenah birokrasi.
 
“Apakah masuk ke ‘kantung’ mereka sendiri baru dikira tidak dianaktirikan?

“Adakah mereka juga hendak menafikan di dalam RMK-RMK dan bajet-bajet tahunan kerajaan Persekutuan yang sebelum-sebelum ini juga terus dinikmati oleh rakyat di negeri mereka?,” soalnya.

Justeru itu, beliau mengingatkan kepada pembangkang agar tidak berterus-terusan berada di dalam sindrom penafian terhadap bantuan Kerajaan Persekutuan selama ini.

“Adakah mereka hendak terus menafikan bantuan Kerajaan Pesekutuan yang tidak termasuk di dalam mana-mana RMK dan Bajet tahunan, seperti bantuan kecemasan ketika menghadapi bencana seperti RM500 juta bantuan untuk mangsa banjir di Kelantan dan RM2 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 549 rumah penduduk yang terjejas akibat ribut di Balik Pulau tahun lalu?

Jelas kenyataan dakwaan dianaktirikan hanyalah kenyataan bersifatkan politik semata-mata untuk menimbulkan persepsi kononnya kerajaan mengabaikan mereka, hakikatnya mereka yang menafikan serta menyembunyikan fakta yang sebenar, ujar Ketua Wanita UMNO Bahagian Subang itu.

Dipetik daripada sumber : Media UMNO

No comments:

Post a Comment