Monday, June 01, 2015
Wanita UMNO Bantah Naikkan Gaji Amah
1 Jun 2015, Kuala Lumpur : Wanita UMNO menentang sebarang cadangan untuk
menaikkan gaji pembantu rumah warga Indonesia kepada RM1,200 kerana
tindakan itu bukan sahaja tidak sepadan dengan kualiti malah membebankan
majikan.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, adalah tidak
munasabah untuk gaji pembantu rumah dinaikkan melebihi gaji minimum yang
diterima pekerja tempatan apatah lagi kemudahan lain turut disediakan
pihak majikan.
“Saya minta pihak kerajaan agar berbincang dengan panjang lebar
kerana kalau kita bersetuju dengan cadangan menaikkan gaji kepada
RM1,200, memang ramai keluarga di Malaysia tidak mampu untuk membayar
pembantu rumah.
“Kita di Pergerakan Wanita UMNO jelas tidak bersetuju dengan
cadangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis
pelancaran Pasarnita oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,
di sini hari ini.
Jumaat lalu, Timbalan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono,
mengesahkan negara itu telah menghantar kertas cadangan kepada
Kementerian Sumber Manusia untuk menambah baik syarat pembantu rumah
antaranya menaikkan gaji kepada RM1,200.
Kenaikan gaji daripada RM800 kepada RM1,200 sebulan itu, jelas
Hermono, bagi menjadikan pekerjaan pembantu rumah di Malaysia lebih
kompetitif kerana dakwanya negara lain menawarkan gaji yang lebih tinggi
berbanding negara ini.
Bagaimanapun pelbagai pihak, baik badan bukan kerajaan (NGO) yang
menguruskan operasi pembantu rumah, badan politik dan pihak majikan
jelas tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, Shahrizat berkata, jika gaji pembantu
rumah dinaikkan kepada RM1,200, setiap majikan di negara ini perlu
membelanjakan sehingga RM2,000 sebulan merangkumi aspek makan minum
serta penginapan.
“Mereka ini kita tanggung semua, makan minum dan tempat berteduh.
Jadi kalau campur semua ini majikan terpaksa membelanjakan sehingga
RM2,000 untuk seorang pembantu rumah,” ujarnya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment