Thursday, June 18, 2015
Selangor Secara Senyap-Senyap Mencatu Air
Rakyat Selangor sengsara air senyap-senyap dicatu
Rakyat di Selangor disifatkan semakin sengsara akibat catuan air yang
dilakukan sejak tiga bulan lepas susulan kedegilan kerajaan negeri
menyelesaikan isu perkhidmatan air dan projek Loji Rawatan Air Langat 2
(LRAL2).
Setiausaha badan perhubungan UMNO negeri, Datuk Johan Abdul Aziz
berkata, kerajaan negeri juga seolah-olah tidak mengendahkan kebajikan
rakyat yang benar-benar memerlukan bekalan air sempurna untuk kegunaan
sehari-hari.
“Sudah masuk tiga bulan catuan berlaku terutama di Semenyih dan
kawasan sekitar. Apa yang berlaku benar-benar menunjukkan kegagalan
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam mentadbir.
“Pemuda UMNO juga sudah membuat perhimpunan di hadapan pejabat SUK
semalam, kita mahu isu ini segera selesai,” katanya kepada Astro AWANI
di sini hari ini.
Johan mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang berkata, Kerajaan Persekutuan boleh
mengambil alih kawalan operasi pengagihan bekalan air di Selangor, Kuala
Lumpur dan Putrajaya sekiranya penstrukturan semula industri air di
Selangor tidak dapat diselesaikan sehingga mengganggu kebajikan rakyat
dan kegiatan ekonomi di negeri itu.
Jelasnya, ia merupakan pilihan terakhir kerana kerajaan komited untuk
menyelesaikan permasalahan tersebut menggunakan pendekatan diplomasi
agar keyakinan pihak swasta tidak terjejas.
Dalam pada itu, jelas Johan, Azmin diminta segera menyelesaikan
kemelut membabitkan bekalan air di Selangor dengan mengadakan
perbincangan bersama exco negeri yang berkenaan.
“Rakyat sudah marah kerana catuan dibuat senyap-senyap. Langkah
kerajaan negeri untuk mengatasi masalah ini juga masih tidak nampak
sehingga kini,” ujarnya.
Dalam pada itu ketika mengulas pergolakan politik Pakatan Rakyat,
Azmin berkata:
“Pakatan Rakyat sudah tidak ada lagi, UMNO negeri
mengambil langkah ‘tunggu dah lihat’ dalam perkembangan ini.
“Cukuplah sandirawa mahu menjadi pembela rakyat Selangor. Kerajaan
Negeri sudah terbukti gagal dalam pentadbiran dan kita akan memfokuskan
menawan kembali negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.”
Dipetik daripada sumber : Awani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment