Sunday, June 21, 2015
Tiada Asas Untuk Tutup BTN – Razali
20 Jun 2015, Muar : Desakan DAP yang mahukan Biro Tatanegara (BTN)
dimansuhkan adalah sesuatu yang tidak berasas dan membuktikan parti itu
takut kepada kebenaran, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Razali Ibrahim.
Beliau berkata selama ini BTN berperanan dan berjaya membentuk jati
diri rakyat untuk lebih berjiwa patriotisme dan sebab itu pembangkang
terutama DAP khuatir rakyat tidak akan menyokong mereka.
“Apa asas yang DAP mendakwa BTN ini rasis atau bersikap perkauman.
Apakah menceritakan keadaan sebenar (pencerobohan kumpulan bersenjata)
di Lahad Datu (Sabah) itu adalah rasis?
“Apakah menerangkan mengenai Raja Berperlembagaan itu juga rasis?
Saya tidak nampak BTN ini telah melanggar peraturan,” katanya kepada
pemberita selepas melawat bangunan baharu UMNO Muar di sini, hari ini.
Semalam
Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan yang dipetik oleh
beberapa portal propembangkang mendesak agar BTN dihapuskan kerana rasis
dan antinasional.
Lim mendakwa kerajaan persekutuan sudah membazirkan RM1.1 bilion yang
sepatutnya digunakan untuk menyuburkan patriotisme, perpaduan antara
kaum dan persefahaman antara agama.
“BTN patut dimansuhkan kerana berperwatakan rasis dan antinasional
menyebabkan pembaziran dana awam,” kata Lim dalam kenyataan itu.
Razali yang juga Anggota Parlimen Muar berkata sewajarnya mereka
memberikan cadangan untuk diperbaiki dan bukannya menggesa untuk
dimansuhkan jika ada sesuatu yang dirasakan tidak betul pada pandangan
mereka.
“Kita sepatutnya memperbaiki bukan menghapuskan. Kita mahu tahu apa
masalah BTN ini kepada mereka sebenarnya. Saya tidak nampak kalau BTN
ini dihapuskan ia boleh menjadi semuanya baik seperti langkah kita
memansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).
“Mereka ini diibarat seperti `marahkan nyamuk kelambu dibakar’.
Semuanya mahu mengikut kata mereka yang tidak memberikan sebarang
keuntungan dan kebaikan buat negara,” katanya.
Beliau berkata DAP sebenarnya marah kerana melalui BTN, rakyat
mengetahui segala-galanya keadaan sebenar apa yang berlaku dalam negara
dan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab untuk merosakkan perpaduan
rakyat berbilang kaum dan agama.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment