Sunday, June 21, 2015
Tun M Tak Sayang Melayu, UMNO.... Sanggupkah Melihat Melayu Berpecah Lagi
Shah Alam : Veteran Umno Malaysia menyifatkan tindakan bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan mengkritik negara
sendiri kepada media asing sebagai tidak sayang kepada parti itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Dr Mahathir sanggup
melihat Umno menjadi kucar kacir dan terkubur sebagaimana yang pernah
berlaku di zaman beliau menjadi presiden apabila Umno pernah diharamkan.
“Beliau juga sudah tidak sayang lagi kepada negara ini dan mahu melihat
politik negara ini tidak stabil. Beliau juga sudah tidak sayangkan
bangsa Melayu dan mahu melihat Melayu terus berpecah dan menjadi
minoriti dalam majoriti. Malah tindakan Dr Mahathir akan membuka jalan
kepada runtuhnya kuasa Melayu di negara ini.
“Biar apa pun tindakan Dr Mahathir sudah pasti akan merugikan Melayu dan
Umno. Dr Mahathir telah memilih untuk melihat Melayu dan Umno berkecai.
Kalau itulah pilihannya, maka Dr Mahatahir akan dikenang sebagai tokoh
yang merosakkan Umno dan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, Veteran amat kesal dan kecewa dengan tindakan Dr Mahathir
dan menyifatkan tindakannya mengulangi perbuatan timbalannya dahulu,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini turut menggunakan media asing
memburukkan negara dan kepimpinannya.
“Veteran tidak menyangka Dr Mahathir sanggup merendahkan martabatnya
sebegitu rupa semata-mata kerana marah dan tidak berpuas hati dengan
kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan
Presiden Umno.
“Tindakan itu hanya kerana untuk memuaskan hati beliau yang mahu melihat
Najib berhenti sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment