Monday, April 06, 2015
Jangan Jadikan PM Sasaran Agenda Peribadi
7 April 2015, Kuala Lumpur : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad
Zarkashi berkata, beliau kecewa melihat tindakan Dr. Mahathir dan
menyifatkan serangan negarawan itu ke atas Perdana Menteri bertujuan
menimbulkan prasangka buruk.
“Saya hormati beliau sebagai negarawan tetapi apabila saya meneliti
siri kenyataan Dr. Mahathir ke atas Perdana Menteri, persoalan terkini
adalah menjurus kepada agenda peribadi. Pada saya, ini tidak patut
berlaku.
“Kalau benar beliau mahu mempersoalkan termasuk dalam kes Sirul Azhar
Umar, Dr. Mahathir sendiri perlu menulis surat kepada Peguam Negara dan
Ketua Polis Negara kerana cara beliau bercakap seolah-olah ada bukti
baharu.
“Perdana Menteri sudah dua kali bersumpah di masjid. Proses mahkamah
pun sudah dilalui. Jadi apa lagi? Kalau beliau merasa ada penemuan
baharu, tampil dan dedahkanlah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini
hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berkata
demikian sebagai mengulas beberapa siri serangan dan kritikan keras Dr.
Mahathir ke atas kepemimpinan Perdana Menteri sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, dalam isu 1Malaysia Development
Berhad (1MDB), sepatutnya Dr. Mahathir tidak perlu menari mengikut
rentak pembangkang kerana kerajaan sudah pun mengarahkan audit forensik
dilakukan.
Malah katanya, langkah Perdana Menteri mengarahkan audit forensik
dibuat bukan sahaja membuktikan ketelusan kerajaan dalam isu berkenaan
tetapi memperlihatkan keberanian Najib untuk berdepan dengan segala
kemungkinan.
“Apa yang lebih penting Perdana Menteri memberi jaminan bahawa
kerajaan tidak akan menyelamatkan (bail out) 1MDB jika diurus dengan
tidak betul dan ini komitmen bahawa di zaman pemerintahan Najib tidak
berlaku bail out.
Tun Dr. Mahathir sendiri pun kena melihat dengan lebih jujur dalam
soal ini, tidak pernah semasa pentadbiran Najib kerajaan membuat langkah
bail out syarikat tertentu seperti yang sering berlaku semasa
pentadbiran negara di bawah Tun Dr Mahathir.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment