Thursday, May 07, 2015
Pengalaman Hampir 20 Tahun Berkhidmat Di Permatang Pauh Azimat Buat Calon BN
7 Mei 2015, Bukit Mertajam : Pengalaman hampir 20 tahun berkhidmat untuk
penduduk di Permatang Pauh dalam usia yang masih muda, menjadi azimat
berharga buat calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin.
Walaupun kali pertama bertanding dalam pilihan raya, Suhaimi, 43,
yakin usaha dan khidmat beliau selama ini kepada penduduk di Parlimen
Permatang Pauh akan mendapat perhatian para pengundi yang akan
menentukan nasib wakil rakyat di kawasan Parlimen itu hari ini.
“Saya
dah kerja hampir 20 tahun dalam UMNO daripada peringkat Pemuda sehingga
kepada Setiausaha Bahagian (Permatang Pauh), untuk berbakti di
Permatang Pauh dan kepada semua penduduk di Permatang Pauh tak kira
kaum…Melayu, Cina dan India,” katanya kepada pemberita di Pusat Operasi
BN di sini hari ini.
Katanya dalam kempennya sejak 25 April, beliau bertemu ramai penduduk
dan pengundi yang menyatakan sendiri mereka mahukan wakil rakyat yang
dapat membantu mereka.
PRK Parlimen Permatang Pauh hari ini menyaksikan pertandingan empat
penjuru antara Suhaimi, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan
Salleh Isahak (Bebas).
Menyedari cabaran sukar untuk memecahkan penguasaan PKR yang telah
berakar umbi di Parlimen Permatang Pauh sejak 17 tahun lalu, Suhaimi
berkata beliau bersedia membaiki kelemahan dirinya untuk memberikan
perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya di Parlimen Permatang Pauh.
“Dari awal-awal tuan puan sendiri nampak saya kurang pandai bercakap.
Tetapi sampai semalam, saya sudah memperoleh pengalaman terbaik sewaktu
kempen untuk membaiki kekurangan diri,” katanya.
Suhaimi berkata kemenangan BN pada PRK Rompin semalam menunjukkan
bahawa BN memang mampu meyakinkan rakyat dan beliau yakin pengundi di
Permatang Pauh bijak dan mampu membuat pilihan yang tepat dengan
mengundi BN.
“Buang jauh-jauh pengalaman 17 tahun itu, saya sedia untuk membantu
rakyat dalam mendapatkan apa yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya.
Katanya, beliau sanggup berdepan dengan semua cabaran ketika
bertanding di Parlimen Permatang Pauh walaupun menyedari ia merupakan
kubu kuat PKR bagi memastikan nasib rakyat di kawasan itu terbela.
“Apa yang penting adalah rakyat di Permatang Pauh. Kerana itu, saya
sebagai anak tempatan bertanding untuk memastikan kebajikan penduduk
Permatang Pauh. Selain itu, wakil rakyat BN mempunyai hubungan baik
dengan kerajaan persekutuan dan juga wakil kerajaan persekutuan. Saya
berazam untuk kembalikan pembangunan di Permatang Pauh yang ketinggalan
hampir 17 tahun,” katanya.
Bagaimanapun, Suhaimi agak kecewa dengan kejadian papan iklan BN yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab sejak semalam.
“Saya kecewa sepanjang kempen, saya tak pernah mengata calon lawan.
Saya cuma kempen kebaikan BN. Saya bawa nama BN , saya nyatakan
pendirian kami, matlamat kami dan manifesto kami, sedangkan parti lawan
tak ada manifesto,” katanya.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak melemahkan semangat beliau untuk
meneruskan lagi usaha kempen yang memasuki hari terakhir semalam.
“Saya dah ada pengalaman beberapa kali, pernah berlaku beberapa kali
sebelum ini sewaktu saya terlibat dalam kempen (pilihan raya). Dulu lagi
teruk, sekarang dah kurang,” katanya.
Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai sebanyak 71,890 pengundi
berdaftar, dengan kira-kira 70 peratus adalah pengundi Melayu.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment