Tuesday, May 05, 2015
PRK Rompin: Hishammuddin Puas Hati Gerak Kerja Jentera BN
4 Mei 2015, Muadzam Shah : Penyelaras Barisan Nasional (BN) bagi pilihan
raya kecil (PRK) Parlimen Rompin Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berpuas hati dengan gerak kerja jentera BN menjelang hari pengundian
esok.
Beliau berkata anggota jentera parti di 38 Pusat Daerah Mengundi
(PDM) telah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan
baik dalam berusaha memastikan rakyat keluar mengundi.
“Setelah hampir dua minggu (kempen), hari ini menjelang hari
pengundian (esok), saya lega kerana jentera-jentera di PDM tahu tugas
masing-masing dan pastikan proses pengundian esok berjalan lancar,”
katanya kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan PDM Felda
Selancar 1 dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mahu gerak kerja BN
diteruskan pada hari pengundian esok, khususnya dari segi pengangkutan
untuk membawa pengundi ke pusat mengundi.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa pengundi untuk keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing esok.
“Jentera pilihan raya parti bertanding akan kembali ke kawasan
masing-masing selepas PRK, Rompin ini perlu dipimpin oleh wakil rakyat
yang senang didekati dan boleh menjalankan tugas dengan baik,” kata
Hishammuddin yang mahu pengundi membuat pilihan dengan bijak.
Seramai 52,744 pemilih berdaftar layak mengundi esok, sementara 464 daripada 545 pengundi awal telah mengundi pada Khamis lepas.
PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara
calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad. Ia diadakan
susulan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas
helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment